Antara kereta 12 tahun dan UMNO setengah abad

SIBU: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) perlu membuat pertimbangan teliti sebelum menetapkan had jangka hayat kenderaan di negara ini, kata Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Abdul Aziz Kaprawi.


Sejurus selepas tersiarnya niat JPJ untuk pertimbangkan had jangka hayat kendereaan di Malaysia, negara ini terus bergolak dengan kekecohan isu penindasan terhadap pengguna kereta yang melebihi 12 tahun.

Tajuk yang ditulis nampak berat benar ke arah politik. Asyik-asyik nak berpolitik sampai bila nak produktif? Bukan suka suka tajuk ini ditempel di atas sana. Kerana ini adalah cubaan untuk menambah perisa otak kita.

Apa masalahnya dengan kereta 12 tahun ke atas?

1. Prof. Dr. Wong sebagai Ketua Pengarah MiROS mengatakan bahawa kereta yang telah melebihi 12 tahun sudah tidak lagi selamat untuk berada di atas jalan raya. Satu dakwaan yang "plausible" walaupun rakyat masih belum disajikan dengan faktanya.

2. Dikhuatiri membahayakan pemandu dan berpotensi untuk turut membahayakan nyawa pengguna jalanraya yang lain. Kerana secara logiknya kenderaan sebegini telahpun mengalami kehausan dan kelusuhan pada alatan dan bahagian jenteranya. Begitu juga pada bahagian pemanduan dan keselamatan kereta.

3. Tanpa penyelenggaraan yang sempurna, kenderaan begini umpama "time bomb" yang menunggu masa untuk mencelakakan pemandunya ataupun pemandu-pemandu lain disekitarnya.

JPJ mengambil pendekatan suci iaitu demi menjaga keselamatan pengguna jalan raya, maka akan dipertimbangkan pengharaman kereta yang melebihi 12 tahun ini. Supaya dengan pengharaman ini dapat mengelakkan ancaman berlakunya kecelakaan terhadap pengguna jalanraya.

Kesan pengharaman kereta melebihi 12 tahun
(sumber-sumber internet, bukan perkiraan saya)

1. Kerugian perlu ditanggung pengguna, sudahlah bayar pinjaman sampai 9 tahun. Cukup 12 tahun dah dicop haram JAKIM JPJ.

2. Kenderaan = Ken-DERA-an yang mendera mereka-mereka yang ditindas apabila servis pengangkutan awam berada ditahap najis.

3. Peningkatan ekonomi tokey perniagaan kereta.

4. Peningkatan kos untuk mobility, pemilikan hangus sesebuah kenderaan termasuk penyelenggaraannya.

Ramai yang berkata pengharaman ini tidak relevan dengan harga kenderaan yang amat melampau dijual di negara ini. Tak cukup dengan itu, tahap keselamatan dan keselesaan jalanraya juga dipersoal. Termasuk juga perlunya penilaian semula terhadap cukai dan insurans kenderaan.

UMNO dan ironinya

Adapun pengharaman sesuatu yang mengancam rakyat tidak perlu hanya berlaku di jalanraya. 12 tahun hanya sekadar angka begitu juga setengah abad lamaya. Faktor pengharaman bukan diletakkan mutlak ke atas bilangan angka, tetapi kualiti yang berpotensi untuk mencelakakan rakyat.

Laporan audit gunanya bukan untuk diperam sampai jadi tapai. Begitu juga laporan rasuah, laporan kewangan, salahlaku ahli kabinet, dan pembaziran wang rakyat, bukan sekadar pencicah daging saudara sendiri. Ini adalah tanggungjawab parti pemerintah yang kini melewati setengah abad.

Kalaulah UMNO itu jenama kereta, umurnya setengah abad, nak dibawa ke jalanraya boleh mencelakakan diri dan orang lain, nak dibela pula termakan diri sendiri. Tak ada sebab lagi untuk tidak diharamkan, kecuali kabel JPJ & MiROS sahaja yang tinggal. Itupun selepas berdengungnya wacana "Don't bite the hands that feeds you".

Maka memang padanlah statistik PRU jumlah pengundi parti pemerintah lebih rendah dari pembangkang. Nak disuluh tak pula buta, nak disuruh dah besar panjang pula. Tunggu masa nak dipancung sahaja.

Cebisan

Mari ambil tahu, tindakan JPJ masih berada ditahap pertimbangan sahaja. Masih belum ada kata putus dari benak orang atasan mereka. Tapi, ketika ini masanya untuk kita utarakan bantahan sebelum terlambat. Itupun jika lubang-lubang telinga si fulan itu belum tersumbat.

Sesedap mana sekalipun menghentam, isu ini sebenarnya amat kritikal di luar konteks UMNO juga. Usahkan PAS, PKR mahupun DAP, mana-mana organisasi harus akur tentang "declining stage" mereka. Contoh kontra paling mesra adalah PAS, sampai bila nak bela pemimpin yang dah berpuluh tahun tak progresif dan masih "rigid" lagi ortodoks, yang mengancam ummah?

Akhir sekali, perkataan "ancaman" itu lawannya bukanlah "haram". Kerana pengharaman bukan satu-satunya cara untuk mengatasi ancaman. Katakuncinya di sini adalah menjaga kepentingan rakyat, bukan kepentingan syaitan. Tuhan beri kita akal dan fikiran supaya kita tak kelihatan terlalu dungu persis haiwan.

Read more

Memorandum Anak Syarikat KUIN kepada YAB MB Kedah


Berikut adalah Memorandum yang telah dipanjangkan kepada YAB Menteri Besar Kedah. Jutaan terima kasih kepada YAB MB kerana sudi meluangkan masa bersama kami.


Sila klik imej di atas untuk besarkan

Datuk Mukhriz Mahathir ada memberikan respons positif semasa pertemuan itu. Begitu juga dengan beberapa kenyataan beliau melalui media:

Mukhriz stressed that the state government's stand was to settle the Insaniah Holdings - set-up by the previous administration to generate funds for Kolej Universiti Insaniah (Kuin), in a gentlemen manner without exposing or shaming anyone.

"Perhaps we can start by investigating the qualification of several staffs who are allegedly related to a senior official (in the holding) since I find it rather bemusing that there were many members of a single family were hired at Insaniah Holdings," he said during a press conference at the side of the 13th state legislative assembly sitting here today.

- New Straits Times

Diharap masalah ini dapat diselesaikan pada kadar segera bagi mengelakkan kesengsaraan kakitangan IHSB terus berlarutan lagi. Kami amat menghormati pendirian YAB MB dalam menjaga privasi pihak yang berkaitan. Saya sendiri menyokong usul untuk melakukan siasatan menyeluruh masalah salahguna kuasa dan hedonisma di dalam organisasi.

Kami amat terbuka untuk memberi kerjasama untuk urusan penyiasatan ini. Kerana ianya amat mustahak untuk YAB MB mendapat maklumat yang tepat dan tuntas dari kedua-dua pihak, baik KUIN dan IHSB sendiri.

Walaupun begitu, kami berharap proses penyiasatan ini tidak akan menangguhkan urusan penyelesaian tuntutan gaji kami yang telah tertangguh lebih dari 3 bulan. Sebagaimana termaktubnya pendirian YAB MB yang memahami masalah rakyat dan menyelesaikan masalah rakyat Kedah yang teraniaya seperti kami ini.
Read more

Kenapa IHSB tuntut dari Kerajaan Negeri


Sepertimana terbitnya keterangan saya yang lepas tentang masalah tuntutan tunggakan gaji yang diajukan kepada YAB Menteri Besar Kedah, saya ingin memberikan pencerahan kenapa isu tuntutan itu ditujukan kepada beliau.

Dengan rasa rendah diri, kami ingin melahirkan rasa kesal apabila YAB Menteri Besar yang juga Pengerusi Ahli Lembaga Pengarah KUIN yang kami hormati, membuat kenyataan bagaikan entiti IHSB dan setiap kakitangan yang bekerja di dalamnya tidak mempunyai apa-apa kaitan dengan Kerajaan Negeri.

Seperti yang saya jelaskan di dalam keterangan sebelumnya, punca kegagalan IHSB membayar gaji kami adalah kerana berlaku masalah aliran kewangan. IHSB dan anak syarikat lain menyediakan kemudahan pembelajaran dan sumber tenaga manusia untuk membolehkan pelajar-pelajar KUIN mendapat servis dan kemudahan yang mereka bayar.

Segala apa yang disediakan oleh IHSB untuk pelajar KUIN telah diperincikan di dalam invois bayaran kepada Bendahari. Invois itu telah dipersetujui dibayar oleh KUIN sebagaimana pembayaran yang dibuat sehingga sekurang-kurangnya April lalu. Namun tiada bayaran dibuat untuk invois bulan Mei hingga kini.

Dengan ini, saya tidak menafikan apa-apa jenis masalah pengurusan dan halatuju syarikat. Tetapi saya menerangkan bagaimana kami dibayar, untuk apa kami dibayar dan siapa yang perlu menjelaskan bayaran.

Penerangan ringkas:
1. IHSB sediakan servis dan kemudahan kepada pelajar KUIN
2. Pelajar bayar yuran kepada KUIN
3. KUIN akan membayar invois yang tertakluk kepada servis dan kemudian yang disediakan IHSB

Oleh sebab itulah kami sebulat suara, cuba membawa isu ini kepada perhatian YAB Menteri Besar sebagai Pengerusi Ahli Lembaga Pengarah KUIN. Kerana kami percaya YAB Menteri Besar akan menjaga kebajikan pelajar dan kakitangan yang berkhidmat untuk INSANIAH.

Seiring dengan status KUIN sebagai sebuah badan berkanun Kerajaan Negeri. Maka tidak menjadi sesuatu yang janggal untuk mengajukan isu tuntutan ini kepada Kerajaan Negeri sendiri. 

Ketahuilah, bahawasanya kami hanyalah kakitangan yang diamanahkan tugas untuk mengoperasikan IHSB dan memastikan segala bentuk servis dan kemudahan disampaikan kepada pelajar KUIN. Untuk menafikan hak kami untuk dibayar gaji, adalah sesuatu yang amat dikesali.

Berkenaan penjelasan status perjawatan kami, sememangnya kami bukanlah di ambil bekerja di bawah Kerajaan Negeri. Kami semua tertakluk kepada perjawatan di bawah IHSB. Namun begitu, penyelesaian masalah bayaran invois dan halatuju anak syarikat oleh YAB Menteri Besar akan dapat memberi gambaran kepada status perjawatan kami.

Sepertimana hari ini, status kami tergantung kerana tiada maklumbalas yang spesifik terhadap kelangsungan halatuju syarikat daripada Kerajaan Negeri dan YAB Menteri Besar menerusi KUIN. Dan tunggakkan bayaran menyebabkan kami tidak mendapat hak kami untuk dibayar gaji.

Maka dengan itu kami amat berbesar hati untuk bekerjasama dengan pihak Kerajaan Negeri dan YAB Menteri Besar untuk menyelesaikan masalah ini dengan kadar yang segera untuk membolehkan masalah pembayaran ini diselesaikan sebelum 30 Ramadhan sempena sambutan Hari Raya.

Penerangan ini tertakluk kepada pemahaman saya melalui rujukan invois dan perjanjian di antara IHSB dan KUIN. Penerangan ini juga tidak berniat untuk menunding jari kepada mana-mana pihak, sebaliknya hanya cuba mencari menyelesaian untuk membolehkan Kolej Universiti INSANIAH terus maju dan berkembang.

Saya terbuka untuk dihubungi oleh sesiapa jua yang prihatin dan ingin turut sama menyelesaikan masalah ini. Saya percaya isu ini mempunyai penyelesaian, dan keterbukaan di antara kedua-dua pihak untuk mengadakan perbincangan adalah amat dialu-alukan.

Sekali lagi saya alu-alukan sesiapa juga dari mana-mana organisasi prihatin, badan-badan kerajaan, individu atau pihak Kerajaan Negeri dan YAB Menteri Besar sendiri untuk menghubungi saya sekiranya memerlukan penjelasan ataupun perbincangan untuk menyelesaikan masalah ini. Saya boleh dihubungi melalui talian telefon 012 424 6269.

Terima kasih di atas keprihatinan anda semua, kami amat menghargai segala usaha anda untuk menyelesaikan masalah ini.

Salam Ramadhan, Salam Syawal yang bakal tiba.

Muhamed Taufik. 10:07 pagi, 28 Ramadhan 1434.

Read more

KUIN vs INSANIAH Holding SDN BHD (UPDATED)


Sempena hiruk pikuk isu permasalahan Kolej Universiti INSANIAH (KUIN), saya sebagai salah seorang kakitangan INSANIAH Holding SDN BHD (IHSB), ingin memberikan keterangan sebagai pencerahan kepada beberapa pihak.

Kenyataan ini dibuat di atas pemerhatian, pengalaman dan perbincangan bersama rakan-rakan lain selama mana saya masih ditakrifkan sebagai salah seorang staff IHSB.

Saya akan hanya menyentuh isu staf dan pengurusan. Buat masa ini saya tidak akan menyentuh pelajar, tidak bermakna isu pelajar tidak berhak mendapat keutamaan, walaupun isteri saya sendiri adalah salah seorang graduan KUIN yang agak kurang bernasib baik. Ini kerana masalah pembayaran gaji ini secara tidak langsung akan turut menyumbang kepada kerumitan masalah pelajar yang lebih teruk sekirannya tidak dibendung.

Selain dari masalah tidak dibayar gaji, kakitangan juga menghadapi masalah status gantung tidak bertali. Kami berdepan dengan situasi yang mudah digambarkan sebagai “Constructive Dismissal”. Di mana majikan gagal membayar gaji dan gagal memberi penjelasan tentang status penjawatan kami. Keadaan ini membawa tekanan kepada kakitangan dan membuatkan ramai yang ingin meletakkan jawatan.

Kegagalan IHSB untuk membayar gaji adalah bertunjangkan kepada aliran tunai yang disekat oleh KUIN. Sebagai anak syarikat kepada KUIN, IHSB menyediakan tenaga pengajar, kemudahan pembelajaran dan pelbagai perkara berkaitan yang sememangnya memerlukan kos dan perbelanjaan.

Atas beberapa sebab yang tidak diperjelaskan, KUIN memutuskan untuk tidak membayar invois kontrak yang telah disempurnakan oleh IHSB, dan perkara ini menyebabkan ramai yang teraniaya dengan masalah gaji tertunggak.

Matlamat asal penubuhan IHSB dan anak syarikat lain adalah supaya memboleh KUIN berdiri dengan kaki sendiri tanpa perlu mengharap bantuan dari Kerajaan Negeri. Berlandaskan halatuju ini, IHSB perlu mencari pendapatan untuk membolehkannya beroperasi dan seterusnya menyokong perbelanjaan kewangan KUIN sendiri.

Anak-anak syarikat KUIN ini turut diberikan suntikan modal oleh untuk membolehkan mereka mula beroperasi. Selain dari menguruskan projek-projek luar, mereka memulakan perniagaan dengan menyempurnakan kontrak menyediakan sumber manusia, sistem teknologi maklumat, reka bentuk dan penyelenggaran untuk KUIN.

Saya tidak menafikan wujudnya hubungan korporat yang amat rapuh di antara KUIN dan anak syarikatnya berdasarkan permasalahan gaji, peruntukan kewangan, urusan tuntutan dan sebagainya yang saya sendiri pernah hadapi.

Saya juga akui, berdasarkan pemerhatian saya yang hina, berlaku permasalahan di dalam pengurusan IHSB dan begitu juga KUIN sendiri. Namun begitu, sebagai sebuah organisasi yang dicipta manusia, adalah mustahil sekiranya sesuatu organisasi itu kebal dari sebarang masalah.

Masalah kelewatan gaji adakalanya berlaku sebelum berlangsungnya PRU 2013 lagi. Tetapi selepas berlangsungnya PRU 2013, ramai kakitangan tidak dibayar gaji untuk bulan Mei 2013. Walaupun sebelumnya sudah terdapat sebahagian kakitangan tidak dibayar gaji pada bulan April 2013.

Sehingga 4 Ogos, kami masih belum mendapat hak kami. Walaupun begitu kami bersyukur kerana YAB Menteri Besar memberi respons yang positif berkenaan isu ini. Untuk pengetahuan semua, selama mana kakitangan tidak dibayar gaji, telah beberapa kali dijalankan usaha untuk menyelesaikan masalah ini.

Kakitangan yang terlibat telah membuat beberapa aduan kepada Pejabat Buruh dan ada dari kalangan kami yang cuba membawa isu ini kepada pengetahuan YAB Menteri Besar, dengan harapan ia akan mendapat perhatian sepatutnya.

Kami sebagai kakitangan syarikat cuba bersikap seberapa neutral mungkin dalam mengharungi masalah ini. Walaupun begitu, saya turut kesal apabila melihat kewujudan pengaruh politik tidak sihat sehingga menyebabkan berlakunya penindasan dan penganiayaan yang tidak sepatutnya berlaku di dalam sebuah organisasi Islam seperti ini.

Ingin saya tegaskan, IHSB sememangnya ditubuhkan dari zaman pemerintahan kerajaan terdahulu, tetapi tidak semestinya kami semua tidak sehaluan dengan kerajaan yang memerintah hari ini. Kami bekerja untuk majikan tanpa perlu mengira apapun pengaruh kepartian yang dibawa oleh majikan terdahulu atau hari ini.

Kami merasa cukup terkilan kerana masalah ini sepatutnya dapat ditangani 2 atau 3 bulan yang lalu. Sekiranya diberikan perhatian yang sebaiknya , hari ini KUIN akan dapat beroperasi dengan lancar pada tahap yang optimum.

Ingin saya jelaskan di sini, sebahagian besar daripada kakitangan yang teraniaya ini bukanlah mereka-mereka yang mempunyai kuasa untuk membuat keputusan penting yang bakal menentukan halatuju syarikat. Sebaliknya, majoriti dari kami adalah diamanahkan dengan tugas-tugas harian separa professional dan sokongan.

Majoriti dari kami ditawarkan kadar emolumen yang rendah berbanding mereka yang berjawatan tinggi. Berdasarkan bidang tugas urus tadbir pejabat, penyelenggaraan, system maklumat dan pendidikan, gaji kami sememangnya tidak tinggi dan kini kami dihimpit masalah kewangan yang memeritkan.

Saya menulis bukan untuk mencari salah sesiapa dan menunding jari kepada mana-mana pihak. Saya menulis bukan untuk mencari simpati segenap mereka yang membaca. Tetapi saya hanya ingin menuntut hak saya. Selama 3 bulan, pelbagai cara sudah kami cuba dan kini Syawal bakal bersidang kurang dari seminggu.

Saya amat berharap YAB Menteri Besar sudi memberikan kerjasama untuk menangani masalah ini. Saya mewakili kakitangan yang lain, ingin menuntut gaji kami tidak dibayar selama 3 bulan dan memberikan penjelasan sewajarnya tentang status perjawatan kami.

Kami akan patuh sekiranya servis kami tidak lagi diperlukan, tetapi kami mohon segala urusan dilakukan menerusi prosedur yang telah ditetapkan oleh undang-undang.

Ulasan saya terhadap kenyataan YAB Menteri Besar yang menyatakan kerajaan negeri tidak mempunyai sebarang kaitan dengan IHSB adalah, dengan rendah diri saya sarankan YAB Menteri Besar datang sendiri bertemu dengan kami dan dapatkan penjelasan dari kedua-dua belah pihak.

Saya juga berharap, kenyataan YAB Menteri Besar tentang warisan masalah atau hutang kerajaan terdahulu agar dikaji semula. Kerana tidak ada istilah cuci tangan untuk mana-mana kerajaan yang siuman di dalam dunia ini. Kerajaan terhasil daripada pemilihan rakyat, dan hak rakyatlah yang perlu dibela oleh kerajaan tanpa perlu mengira apa jenis warisan yang diperturunkan kepada mereka.

Diharap YAB Menteri Besar boleh cuba mendapatkan maklumat dari mereka yang terlibat kerana maklumat dari sumber sekunder mungkin indah khabar dari rupa. Kami tiada apa-apa tujuan untuk menjunjung “political millage” mana-mana parti. Kami hanya mahu hak kami disempurnakan untuk kami menyempurnakan tugas kami di INSANIAH.

Kami tidak hanya menunggu kedatangan YAB Menteri Besar, kami telah beberapa kali cuba menghubungi YAB, namun nasib mungkin tidak menyebelahi kami sebagai rakyat Kedah dan warganegara Malaysia.

Kenyataan ini mungkin atau mungkin tidak mewakili kesemua kakitangan IHSB yang teraniaya. Pelbagai pendapat yang diutarakan di atas dibuat berdasarkan kapasiti persendirian saya. Saya mungkin tersalah maklumat atau tersalah tafsir maklumat. Namun saya terbuka kepada sebarang komen dan pembetulan fakta oleh rakan-rakan yang lain.

Saya tiada identiti untuk disembunyi. Saya berhak dipertanggungjawab di atas kenyataan saya. Saya amat berharap sesiapa jua yang perlukan penjelasan atau perbincangan untuk menyelesaikan masalah ini dapat menghubungi saya. Saya boleh dihubungi melalui laman ini, ataupun melalui nombor telefon saya 012 424 6269.

Saya tegaskan, saya terbuka untuk dihubungi hanya untuk penjelasan dan penyelesaian isu sahaja. Saya tidak tertakluk untuk menjaga kepentingan mana-mana parti. Saya tidak berminat untuk berkerjasama bagi terus menghasut kebencian.

Selamat “menyempurnakan” Ramadhan, Wassalam.

UPDATE


Terdapat sedikit kemusykilan dari rakan-rakan tentang tuntutan bayaran tunggakan gaji daripada kerajaan negeri. Oleh itu saya akan cuba terangkan perkara ini dengan seberapa ringkas yang mungkin. 

Seperti yang saya jelaskan di awal keterangan di atas, punca kegagalan IHSB membayar gaji kami adalah kerana berlaku masalah aliran kewangan. IHSB menyediakan kemudahan pembelajaran dan sumber tenaga manusia untuk membolehkan pelajar-pelajar KUIN mendapat servis dan kemudahan yang mereka bayar. 

Segala apa yang disediakan oleh IHSB untuk pelajar KUIN telah diperincikan di dalam invois bayaran kepada Bendahari. Invois itu telah dipersetujui dibayar oleh KUIN sebagaimana pembayaran yang dibuat sehingga sekurang-kurangnya April lalu. Namun tiada bayaran dibuat untuk invois bulan Mei hingga kini. 

Dengan ini, saya tidak menafikan apa-apa jenis masalah pengurusan dan halatuju syarikat. Tetapi saya menerangkan bagaimana kami dibayar, untuk apa kami dibayar dan siapa yang perlu menjelaskan bayaran. 

Penerangan ringkas:

1. IHSB sediakan servis dan kemudahan kepada pelajar KUIN
2. Pelajar bayar yuran kepada KUIN
3. KUIN akan membayar invois yang tertakluk kepada servis dan kemudian yang disediakan IHSB

Oleh sebab itulah kami sebulat suara, cuba membawa isu ini kepada perhatian YAB Menteri Besar sebagai Pengerusi Ahli Lembaga Pengarah KUIN. Kerana kami percaya YAB Menteri Besar akan menjaga kebajikan pelajar dan kakitangan yang berkhidmat untuk INSANIAH.

Baca selanjutnya Kenapa IHSB buat tuntutan kepada Kerajaan Negeri



Read more

Bukan Anjing yang hina Islam

Di sebalik rimbunan kes jenayah-bunuh-tembak yang makin berleluasa kini, negara kita sempat juga bergolak dengan isu penghinaan terhadap agama Islam, terutama di bulan puasa dan sambutan Hari Raya.



Ramai yang terasa seperti terancam sifat-sifat ke-Islam-an dan ke-Melayu-an mereka apabila berdepan dengan isu seorang jurulatih Maznah Mohd Yusof berinteraksi dengan riang bersama-sama sejenis haiwan bernama anjing.

Read more

Undi PAS pun boleh masuk Neraka



1. Sebelum PRU13 tempoh hari, sering kedengaran para ilmuan berbincang tentang keperluan memilih kerajaan Islam berbanding kerajaan yang tidak Islamik

2. Ada kala ketikanya, menjadi satu kewajipan untuk mengeluarkan undi untuk menegakkan Islam (baca Parti Islam)

3. Sehingga satu tahap, membuang undi untuk menidakkan hak kerajaan Islam (baca Parti Islam) untuk ditegakkan adalah umpama memerangi agama suci ini

4. Sehingga satu lagi tahap, mengundi untuk parti lawan (baca rejim BN) adalah umpama menaja kemungkaran dan membantu meneruskan kezaliman rejim itu

5. Ini membawa kepada satu konklusi bahawa mengundi kepada rejim itu saling tidak tumpah dari menunaikan janji syaitan untuk bersama mereka di dalam neraka (Nauzubillah)

6. Sememangnya undi yang dilemparkan untuk Parti Islam itu tidak akan menjamin syurga anda di sana

7. Begitu juga, ia tak akan mampu menjamin anda daripada tidak terjerumus ke dalam neraka

8. Oleh itu apa bezanya mengundi Parti Islam vs Rejim Zalim di negara tercinta ini?

9. Bezanya ada pada setiap mereka yang menyokong parti-parti itu, sama ada akhlak mereka persis ahli neraka atau pun tidak

10. Sama ada kerajinan mereka menabur duri kepada penyokong lain, mahupun usaha memecahbelahkan jemaah Islamiah mereka sesama sendiri yang bermodalkan air liur (Fitnah)

11. Begitu juga dengan racist. Racist bukan hanya sekadar antar Melayu dan Cina mahupun India.

12. Tetapi racist sesama Melayu, racist dengan warna parti!

13. Persoalan yang timbul, “Kalau mana-mana parti pun masuk neraka, mana satu aku nak pilih?”

14. Jawapannya, ini bukan soal parti. Sekalipun parti Islam yang disokong, tetapi kalau kerjanya lebih buruk dari orang kafir, maka nerakalah hentian kamu (at least sebelum masuk syurga juga)

15. Untuk orang yang sememangnya berniat untuk tidak masuk neraka (atau memang nak masuk syurga), sudah pasti mereka sudah mengetahui situasi ini.

16. Maka mereka-mereka ini segera runtuhkan ego kepartian mereka untuk menuntut keadilan dan menegakkan kebenaran berlandaskan kepentingan agama mereka

17. Putrajaya bukan satu alasan untuk mempamerkan akhlak syaitan kepada non-believers

18. Adapun tulisan ini benar dan mungkin tidak benar, beruntunglah kepada mereka yang baca sehingga baris terakhir ini


BN menang bergaya
Jangan risau
Esok belum Kiamat
Insyaallah

Read more

Nikah Connecting People



Nikah dan duit bersendi rima
Bukan seringgit dua
Tapi ada yang sampai bergadai harta
Bukan kerana air naik kepala
Tapi tuntutan fitrah sesama manusia
Bukan mencari isteri semata
Tapi mencari yang layak untuk anak-anak kita juga

Nikah dan mas kahwin terbalut satu warna
Bukan matawang menjadi skala
Tapi seikhlas budi menabur cinta
Kadang tuan badan langsung tak berkira
Tapi saudara mara pula yang terlebih mengada
Benda baik kenapa nak disusah usaha
Bukan berdosa
Bahkan dapat pahala

Nikah dan kenduri bagai masyhur sastera
Umpama pelengkap bunga dan kumbangnya
Seumur hidup sekali sahaja
Tapi bukan alasan untuk membazir wang dan masa
Kalau kamu rajin berusaha 
Mungkin menikah buat kali kedua tiga dan empatnya
Tapi kini makin terpesong kenduri kendara
Menjadi medan riak dan bermuka-muka
Moga kita dijauhkan dan dipelihara
Dari turut sama dibelit dengan adat ular sawa!

Nikah sebenarnya berlagu dengan agama
Adat dan budaya itu nombor dua
Biarkan mulut mereka menabur kata
Jawab pada mereka "Ma Rabbuka?"
Bukan sekadar berkahwin tapi berkeluarga

Menjaga anak isteri bukan sekadar makan dan pakai sahaja
Jangan sampai menjadi bara neraka
Merah menyala sesal kelalaian dunia

p/s: Pesanan buat diri sendiri dan rakan-rakan
pp/s: Sorry lama tak update, sibuk sikit
ppp/s: Jemput mai kenduri hahaha





Read more

Valentine yang dinantikan


“Orang bercinta sebelum kahwin akan banyak membuat perkara bodoh, terutamanya orang perempuan”


Itu ayat selingan dari Hamka Keretamayat. Katanya orang perempuan sahaja yang buat kerja macam dia cakap tu. Tapi sebenarnya lelaki pon tak kurang hebatnya.

Tak mungkin terbit anak luar nikah kalau tak ada kerjasama kedua-dua belah pihak kan? Kita digalakkan mencari keturunan yang baik untuk dibuat keluarga. Tapi mencari sahaja tak mencukupi. Kita perlu menjaga.

Orang bujang cukup-haul-banyak-alasan macam aku ni mana ada anak bini nak jaga keturunan. Tapi aku masih ada adik-adik dan saudara mara. Aku juga ada saudara seagama, walaupun mereka kini sedang beradu tenaga di tempat-tempat sunyi. 

Straight to the point, wujudnya keperluan untuk menjaga ketuturunan tak kira siapa jua diri kita. So, berbekalkan segenggam semangat dan segulung flyers (seperti di bawah) malam tadi dikerahkan kudrat sukarela kami untuk melakukan sedikit servis komuniti.

Jangan silap faham, ini bukan bertujuan meninggi diri. Tapi ini untuk dikongsi, hari ini mungkin kami, hari esok mungkin orang lain nak cuba. 

Macam biasa, lokalitinya Kedah, Alor Setar. Tak ramai pada angka, tapi besar jiwa-jiwa yang turut serta. Bermula dari jam 11 malam kami mula gerak khas mengedarkan risalah dan diikuti dengan interview-interview insan-insan yang terpilih. Dan disusuli dengan bulatan gembira.

Alhamdulillah, tak ada kemalangan jiwa yang berlaku dalam event yang simple and affordable ini. Tapi memang wujud layanan macam makhluk asing terhadap rakan-rakan kami. Siapa tak terkejut dapat flyers sentap malam-malam buta macam ni? 

Jumlah flyers pun tak banyak, tapi sold out. Gelut sebar dakyah Valentine vs Palestine tengah-tengah malam buta, tapi respons keseluruhan warga kota amat memberansangkan. 

Ok friendly reminder, Buku Jalanan Jitra akan dianjurkan lagi pada esok hari. Sila dapat info terbaru dari page FB Buku Jalanan Jitra



Read more

Apa itu BONGKAR 403 juta? (UPDATED)

Grafik ringkas menerangkan BONGKAR 403 yang sedang dijalankan di Kedah. Mohon sebarkan.






Mulanya aku tak berapa nak sokong benda ni, sebab ada unsur-unsur partisan. Tapi bila difikirkan balik interest rakyat, rasanya perlu juga aku bantu mana yang patut. Partisan untuk rakyat takpa kot, jangan partisan meng-ular-sawa-kan hak rakyat haha

BONGKAR 403 ni nak persembahkan kepada rakyat tentang penyelewengan dan salahtadbir sehingga melibatkan RM403 juta di Kedah sahaja. Dari zaman Osman Aroff sampai ke hari ni (zaman PAS?).

Diketuai oleh YB Firdaus Jaafar dengan kerjasama rakan-rakan seperjuangan PR. Memang nampak macam agak kepartian sikit gerakan ni. Tapi sekali lagi, atas dasar the interest of rakyat, aku tolong bantu.


**********************************************************************************

UPDATE





Gambar sekitar fenomena BONGKAR 403 kat Alor Setar. Gerakan ni akan berjalan sampai PRU nanti.









Link-link berkaitan BONGKAR 403

Harakah Daily
Sedaka Sejahtera
Facebook Page BONGKAR 403
Kedahlanie.info
MyKedah2u
Warga Marhaen
Blog MP Firdaus Jaafar

Untuk info semasa buleh dapatkan kat fanpage facebook, ataupun google search BONGKAR 403

Read more

Comments