Showing posts with label Syiah. Show all posts
Showing posts with label Syiah. Show all posts

Isu Syiah sebagai tanda aras kebejatan sendiri


Ramai orang berpendapat isu Syiah ditimbulkan sebagai usaha untuk mengheret perhatian rakyat daripada isu kenaikkan harga barangan dan servis di Malaysia.

Adakah ini bermakna isu Syiah adalah isu yang terpencil, dan tidak perlu atau tidak mendapat tempat untuk diperbahaskan? Walaupun penyelesaiannya boleh membawa impak positif kepada pemikiran rakyat?

Isu Syiah sebenarnya menjangkaui lebih dari banjaran pemikiran ortodoks di Malaysia. Ia menjadi antara faktor yang bakal mempengaruhi pembawaan agama Islam di masa hadapan.

Namun begitu, tidak dinafikan bahawa terdapat pengaruh politik di dalam kekalutan isu ini. Dua parti yang amat sinonim dengan agama Islam, membawa watak pemangsa dan mangsa dengan matlamat untuk meraih kepentingan politik.

Maka kedua-dua parti ini mulalah serang menyerang dan tepis menepis pelbagai dakwaan dan tuduhan sesama mereka. Tanpa merasakan isu ini sebenarnya perlu ditangani dengan ilmiah, membuatkan isu ini terjunam ke dalam gugusan isu stereotaip politik.

Isu stereotaip poltik adalah isu-isu yang hanya berperanan sebagai bola. Ia digunakan untuk disepak ke kanan atau kiri hanya untuk membolosi gol lawan.

Malangnya ia tidak digunakan sebagai medium pemerkasaan keharmonian umat Islam dan juga penganut fahaman lain. Kerana apabila isu ini berjaya dihujahkan dengan terbuka dan lebih ilmiah, ia akan mewujudkan persefahaman yang mendalam di dalam mengangani kepelbagaian pemikiran.

Tidak dinafikan Syiah mempunyai sisi gelapnya dari pandangan Ahli Sunnah Wal Jamaah, namun apakah apa yang dilakukan selama ini menepati saranan Nabi S.A.W? Kerana Islam dan dakwah itu bagai isi dan kuku.

Atau apakah selama ini agamawan sememangnya telah melakukan dakwah? Kesucian dalam melaga-lagakan orang lain dengan tuduhan Syiah malah Wahabi begitu juga Salafi dan berbagai lagi? Ketagihan melakukan upacara memaku papan tanda "Kafir", "Sesat", "Ahli Neraka" ke muka-muka orang yang tidak sefahaman dengan mereka?

Ini seolah memudahkan kerja syaitan. Kerjanya syaitan membawa anak Adam bertatih mengikut mereka makan angin di dalam neraka. Namun penulis tidak bermaksud mereka ini proksi syaitan, kerana hanya syaitan yang boleh berikan kepastian.

Dapatkah kita menilai betapa pincangnya pendirian kita terhadap situasi berbilang fahaman ini? Dan sejauhmana tindakan kita memberi impak yang positif ke arah pembentukan masyarakat madani yang meraikan berbezaan?

Sebagai umat Muhammad, adakah kita sedang mengikut jejak tapak kaki Baginda, atau tapak kaki musuh baginda yang sebenarnya sedang kita ekori?

Jika benar jejak Rasulullah yang menjadi landasan, mana mungkin situasi kebencian, perpecahan, "ana khairu minhu", sektarisma yang mengoyak keharmonian yang berlaku hari ini dapat diakui sebagai hasil asuhan Nabi S.A.W.

Tidak mungkin Al-Quran dan Sunnah yang ditinggalkan Nabi itu menjadi aspirasi untuk merobek keamanan, kemakmuran yang dianjurkan Islam sendiri. Begitu juga tidak mungkin waris-waris Nabi S.A.W sendiri yang bergelar ulama menjadi pencetus kepada kebencian dan kekejian ini.

Sudah tiba masanya untuk umat Muhammad menjenguk ke belakang dan menilai kembali kesan tapak kaki mereka yang membawa kepada perpecahan ini. Dan seterusnya mendongak ke hadapan bagi memastikan kita seiring dengan jejak Nabi S.A.W.

Jelas, isu Syiah sebenarnya adalah salah satu hikmah yang Allah turunkan kepada umat Muhammad di Malaysia ini. Hikmah yang membolehkan kita mengukur kembali keberkesanan pemikiran dan tindakan kita tanpa perlu sedikitpun dibayangi fanatik kepartian yang sia-sia. 

Read more

5 sebab lebih baik masuk Kristian daripada masuk Syiah di Malaysia


Isu Syiah, adalah isu yang makin hari makin merobek keharmonian muslim dan juga rakyat Malaysia sendiri. Isu ini juga semakin menjadi batu loncatan parti-parti politik yang mengendong undi para penganut agama Islam.

Isu ini juga secara tidak langsung memperlihatkan betapa runcingnya masalah kepuakkan (sectarianism) yang amat fanatik, jumud dan penuh dengan pemikiran negatif. Sayangnya, ramai dari kalangan ilmuan agama tidak dapat dikecualikan daripada kekejian ini.

5 sebab lebih baik masuk Kristian daripada masuk Syiah di Malaysia:


1. Masuk Syiah adalah satu jenayah, tapi bebas untuk masuk Kristian

Mungkin belum termaktub di dalam mana-mana akta, bahawa hanya fahaman ASWJ yang diterima pakai & menganuti fahaman Syiah adalah satu jenayah. Tetapi kita sudah pun sedia maklum bagaimana persepsi kerajaan atau parti pemerintah terhadap penganut fahaman Syiah ini.

Kerajaan turut membenarkan pembinaan rumah-rumah ibadat dan juga sekolah-sekolah aliran Kristian di atas tanah ini. Walhal umat ramai Melayu menzahirkan syirik kecil dan fobia mereka tentang Holy Water, yang dilihat lebih berkuasa dari kuasa Allah? Tidakkah mereka perlu merasa terancam?

2. Penganut Syiah perlu amalkan ajaran dengan sulit

Berbanding dengan penganut Kristian, mereka bebas mengamalkan ajaran mereka. Mereka juga bebas mempamerkan identiti Kristian dan boleh menganjurkan apa jua acara keagamaan dengan terbuka.

Mungkin belum ada permit khusus untuk membolehkan penganut Syiah menganjurkan acara mereka secara terbuka. Ataupun harga permit itu dirasakan amat rendah dan perlu dikaji semula?

3. Masuk Syiah menjadi tohmahan para Muslim (ASWJ)

Selain mendapat tekanan dari kerajaan sendiri, penganut Syiah juga berdepan dengan tohmahan masyarakat khususnya dari kalangan Muslim yang merasakan tanggungjawab mereka telahpun selesai di bumi Allah ini.

Mereka memandang keji seorang penganut Syiah, seolah-oleh ke-syiah-an itu menjadi benteng untuk penganut ASWJ untuk bermuamalah dengan mereka. Namun, bermuamalah dengan seorang Kristian tidak langsung menjadi apa-apa masalah, malah kadangkala menjadi satu kebanggaan pula.

4. Penganut Syiah akan ditentang, penganut Kristian di dakwah

Berbagai usaha dilakukan baik oleh golongan agamawan dan ilmuan untuk melekatkan pelekat yang bertulis "Syiah sesat, kafir, bukan Islam, confirm nereka" ke dahi-dahi dan muka-muka penganut fahaman Syiah.

Atau memang itu tujuannya, untuk memudahkan para penganut Syiah ini masuk neraka? Dengan memutuskan dan menjauhkan jalan dakwah kepada mereka. Adakah mereka tak punyai hak untuk ke syurga Allah?

Berbanding dengan usaha dialog kesefahaman, acara keharmonian bahkan usaha dakwah murni yang dilancarkan kepada penganut Kristian bagi membolehkan mereka kembali revert kepada Islam yang benar (ASWJ sahaja yang lain tak boleh).

5. Penganut Syiah menjadi mainan politik fanatik

Penganut Syiah bagaikan bola. Disepak terajang ke sana ke mari. Mungkin jumlah mereka tidaklah seramai mana, membuatkan banyak pihak tidak mahu menerima mereka.

Begitu juga dengan ancaman yang mereka terima daripada parti parti politik. Malah mereka bagaikan tidak layak untuk menganggotai mana-mana parti sekalipun. Sehingga ada satu parti yang mahu meminda perlembagaan parti hanya untuk ASWJ yang confirm masuk syurga sahaja.

Terdapat juga parti yang kononnya mendokong prinsip Islam, yang telah disyaki berapa ramai Syiah berlindung di bawah gagasannya. Malang buat parti Islam itu jika tak mampu berhikmah dengan kehadiran penganut Syiah ke dalam jemaahnya. Menunjukkan betapa lemahnya penerapan nilai Islam itu sendiri di dalam parti yang disayangi mereka.



Ancaman dari ASWJ

Islam tidak berkembang dengan ancaman. Bahkan ianya berlawan dengan nilai Islam yang murni. Semua orang Islam tahu bahawa Islam berkembang dengan dakwah. Atau apakah ini cara dakwah yang suci daripada Ahli Sunnah Wal Jamaah?

Islam itu amat indah dan tidak langsung mencelakakan. Walau kepada sesiapa jua sekalipun, hatta kepada penganut Syiah. Sudahlah kita ketinggalan dalam bidang dakwah (Kristian tempat pertama, Islam kedua), berpecah pula jadinya.

Tidak dinafikan masalah kepuakkan (sectarianism) yang membuak-buak daripada kedua-dua belah pihak. Untuk pengetahuan semua, perkataan berlawan untuk sectarianism adalah keharmonian, keamanan, persefahaman dan tolenransi. Bukankah ini nilai Islam juga?

Karekter Umat Muhammad 

Kalau kepada Kristian dan kafir kita mampu mengawal diri untuk berdakwah dan berhikmah dengan mereka. Kenapa tidak dengan Syiah? Apakah tidak cukup kuat fahaman yang kita pegang ini untuk berdakwah kepada mereka?

Ini bukan masalah fahaman dan pegangan kita. Ini adalah masalah muslim itu sendiri. Kita tunding jari mengatakan Syiah sesat, fanatik dan memudharatkan. Apa bezanya tindakan kita?

Tahukah anda siapa yang sangat beriya-iya mengajurkan perpisahan antara Syiah dan Sunni? Itulah dia musuh Islam. Inilah apa yang dilakukan oleh Israel (Israel holds conference to divide Shiite, Sunni). 

Jangan biarkan jari jemari yang asyik memetik tasbih itu menunding duri meraikan kebencian. Jangan luapkan bibir yang basah dengan zikir itu dengan laungan syaitan. 

Ini bukan karekter umat Muhammad, mereka tidak diajar untuk terus menerus mencambah kebencian.

Read more

Comments