Mak Nyah itu murtad dan kafir?
SEREMBAN – Keputusan empat mak nyah yang sebelum ini mendapat kebenaran mahkamah untuk mencabar perintah undang-undang Syariah yang menghalang mereka berpakaian seperti wanita, akan diketahui 11 Oktober depan.
Dalam prosiding mendengar permohonan semakan kehakiman yang berlangsung semalam, Hakim Datuk Siti Mariah Ahmad berkata, pihaknya akan meneliti kes tersebut dengan mendalam sebelum membuat sebarang keputusan.
Mereka, Muhamad Juzaili Mohd Khamis, 24, Shukor Jani, 25, Wan Fairol Wan Ismail, 27, dan Adam Shazrul Mohd Yusoff, 25, yang bekerja sebagai juruandam menamakan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS), Pengarahnya, Ketua Pegawai Penguatkuasa Syariah, Ketua Pendakwa Raya Syariah dan Kerajaan Negeri sebagai responden.
Terdahulu, empat lelaki itu meminta Mahkamah Tinggi mengisytiharkan Seksyen 66 Enakmen Jenayah Syariah Negeri Sembilan 1992 tidak mempunyai kesan dan tidak terpakai, kepada mereka yang secara psikologi adalah wanita atau mempunyai kecelaruan identiti jantina.
Mereka juga mendakwa seksyen itu juga melanggar Perkara 5 Perlembagaan Persekutuan, berhubung hak kebebasan terutama dari segi kebebasan memilih.
Menurut peguam pemohon, Aston Paiva, keempat-empat anak guamnya itu mempunyai laporan perubatan dari Hospital Kuala Lumpur yang mengesahkan bahawa mereka ini secara psikologi mempunyai sifat kewanitaan lebih berbanding lelaki.
Responden diwakili Peguam Datuk Ishak Sahari dan Mohd Fairuz Iskandar.
Ulasan:
Persepsi Muslim Malaysia: Mak Nyah itu murtad dan kafir?
Empat orang Mak Nyah ini mendapat kebenaran mencabar Mahkamah Syariah untuk membenarkan mereka berpakaian seperti wanita. Katanya mereka ada hak kebebasan memilih gaya hidup.
Mereka ini Islam, dan sebab tu kes mereka di bawah Mahkamah Syariah. Ada suara sumbang kata "Dah nak jadi Mak Nyah, keluar Islam la".
Mak Nyah kelihatan sudah mula menunjukkan taringnya. Pak lebai pulak tak henti-henti mendabik dada mencerca mereka. Pejam celik esok lusa anak dia sendiri yang tergedik-gedik men-sotong-kan diri.
Kes Mak Nyah ini adalah satu contoh terbaik menggambarkan keterampilan Muslim Malaysia khususnya. Kita lebih selesa menyepak terajang hati dan perasaan golongan ini daripada cuba mendekati dan mendidik mereka.
Pandangan kita terhadap mereka tak pernah lekang dari duri kebencian. Lagi dipandang lagi dibenci. Kerana terasa diri itu lebih Islamnya dari mereka, si Mak Nyah umpama sampah yang hanya perlu dikais dengan kaki.
Si lebai suka benar berbincang hukumnya golongan ini men-sotong-kan diri. Haram itu neraka sini. Macam mereka pulak yang menentukan nasib orang lain. Nasib sendiri tidak terbela.
Orang kita lebih suka menghukum dari mengambil tanggungjawab mencari solusi.
Ada yang bagi alasan itu kerja kerajaan nak mendidik golongan Mak Nyah. "Kami kena berpolitik dulu nanti dapat takeover Putrajaya baru kami boleh berdakwah pada golongan ini". Paham-paham sendirilah sapa.
Sejauh mana usaha orang Islam ini membantu mereka? Tolong bantu membenci? Ditanam dalam hati kanak-kanak agar memulaukan golongan ini, oleh kerana diri sendiri yang geli.
Kenapa geli? Kotorkah mereka ini? Kena samak tak? Yang berkepit beromen tak boleh nak samak tu pon tak terkira banyaknya. Senang hati saja melihat mereka. Tapi bila datang Mak Nyah terus bermuntah-muntah kononnya jijik.
Masalah Mak Nyah ataupun Transgender ini jika diambil berat dari awal, aku pasti takkan wujud kes sebegini di mahkamah. Kita pandang masalah ini sebelah mata dari awal. Kita rasakan mereka ini tidak layak dibantu?
Suka aku menggunakan relative timeframe untuk melihat hala tuju permasalahan ini.
2012 - Mak Nyah mencabar mahkamah syariah
2016 - Mak Nyah jadi wakil rakyat
2020 - Jantina Mak Nyah menjadi pilihan dalam MyKAD
Melihat rentak tempo pemimpin masyarakat kini, aku rasakan semua ini tak mustahil. Bukanlah maksud aku untuk mengiyakan diskriminasi terhadap golongan Mak Nyah ni, tapi jika kita berterusan menunding jari kelak nanti yang merana adalah anak cucu kita sendiri.
Tulisan ini untuk menyedarkan tanggungjawab kita untuk mendekati dan mendidik. Bukan untuk menambah perisa ajinomoto kepada kebencian dan diskriminasi terhadap golongan ini.
Aku percaya semua masalah ada jalannya. Selagi kita tidak lari dihambat masalah segalanya kita mampu.
Come to an end, tahniah kepada yang baca sampai sini. Anda ada dua pilihan.
A: Teruskan persepsi negatif ini
B: Turut serta membantu golongan Mak Nyah untuk berubah