Showing posts with label Kolej Islam Sains dan Teknologi. Show all posts
Showing posts with label Kolej Islam Sains dan Teknologi. Show all posts

Kolej Islam Sains dan Teknologi (KIST) gagal bayar gaji kakitangan


Berikut adalah satu lagi kes yang hampir sama dialami oleh staf IHSB. Tidak mengejutkan apabila terdapat beberapa perenggan di dalam penulisan ini saling tidak tumpah dengan post Kolej Universiti Insaniah vs INSANIAH Holding Sdn. Bhd.

Kolej terbabit adalah Kolej Islam Sains dan Teknologi yang seratus peratus sebuah IPTS yang bukan di bawah pentadbiran kerajaan. Selain dari masalah gaji kakitangan, terdapat banyak lagi masalah yang berkaitan pelajar dan kemudahan di kolej terbabit.

Diharap mereka-mereka yang teraniaya ini mendapat pembelaan sepatutnya. Situasi malang ini tidak sepatutnya berlaku di dalam sebuah organisasi Islam. 

Ikuti luahan mereka:

PENSYARAH DAN PELAJAR KIST TERANIAYA

Kolej Islam Sains dan Teknologi (KIST) yang induknya berada di mukim telong, Bachok Kelantan merupakan kolej swasta kejururawatan dan sains kesihatan yang terbesar di pantai timur, dibelakang KIST ialah presidennya Muhd Zamly Abdullah, 45 , anak kelahiran kemaman yang tiada kelulusan tinggi dengan sekadar lulusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dibantu oleh isterinya Noraihan Che Ali, 44, Ketua Pegawai Operasi (COO), adiknya Noor Haslina Abdullah, 42, Pegawai Eksekutif (CEO) , adik Iparnya Mohd Zaidi Yusof (CEO terengganu) bersama isterinya Nor Maiza Abdullah (COO Terengganu) dan Mohd Abdullah sebagai pengurus sumber manusia.

Syarikat swasta yang berorientasikan perniagaan keluarga ini baru sahaja memasuki lapan tahun penubuhannya semakin merudum prestasi dan bertambah imej buruknya. Masalah demi masalah berlaku, masalah yang ada tetap tidak dapat diselesaikan malah makin bertambah hari ke hari. Terlalu banyak yang perlu diperbaiki dari segi kelewatan pembayaran gaji kakitangan, tunggakan gaji pensyarah locum dan pengajar praktikal (LP), Tunggakan bil api dan bil air, tunggakan pembayaran rumah sewa pelajar, tunggakan pembayaran elaun pelajar, kualiti tenaga pengajar, kelayakan dan berpengalaman, bilangan tenaga pengajar, kemudahan pengajian, prasarana , bilik kuliah, tandas, kualiti pengurusan, bilangan staf, kualiti staf, portal kolej, kualiti sukan, bilangan sukan, prasarana sukan, kos sukan, kejayaan sukan, penyertaan sukan, aktif sukan, kualiti makmal, makmal sains, makmal multimedia, makmal komputer, makmal ujikaji, makmal persidangan, kualiti perpustakaan, bilangan buku, bilangan bahan bacaan, kemudahan penginapan, kemudahan kedai, kemudahan dan aset tetap KIST.

Antara masalah prasarana contohnya boleh dilihat apabila bangunan pentadbiran dan bilik kuliah yang sudah siap terbengkalai sudah hampir 3 tahun disebabkan tiada kelulusan CF terbiar begitu sahaja tanpa manfaat dan merugikan.

Pensyarah Dan Staff Tidak Dibayar Gaji Hampir 4 Bulan

Presiden sepatutnya lebih prihatin dan mengambil tindakan segera untuk menyelesai tunggakan gaji yang memasuki bulan keempat. Kesal dengan tindakan majikan KIST yang sehingga sekarang gagal menyelesaikan tunggakan empat bulan gaji kepada hampir 600 kakitangannya. Ini merupakan satu penderaan kepada mereka, yang mana kebanyakkan mereka terpaksa berhadapan dengan tunggakan hutang, apatah lagi pada Hari Raya Aidilitri dan Hari Raya Aidil adha lepas mereka menyambut dalam keadaan kewangan yang tidak mencukupi, tidak dibayar gaji, kakitangan juga menghadapi masalah status gantung tidak bertali.

Kami berdepan dengan situasi yang mudah digambarkan sebagai “Constructive Dismissal”. Di mana majikan gagal membayar gaji dan gagal memberi penjelasan tentang status penjawatan kami. Keadaan ini membawa tekanan kepada kakitangan dan membuatkan ramai yang ingin meletakkan jawatan.

Masalah kelewatan pembayaran gaji sudah berlaku pada tahun 2011 lagi. Pembayaran gaji dibuat secara tidak menentu, bahkan setiap bulan terlewat, sama ada sengaja dilewatkan atau pentadbiran buat-buat lupa bahawa kakitangan KIST perlu dibayar gaji mendera hampir 600 orang kakitangan yang terpaksa berdepan dengan kesulitan kerana tidak mendapat gaji.

Tahun 2013 masalah kelewatan gaji yang paling teruk dialami oleh kakitangan tertunggak hampir 4 bulan dari bulan Ogos 2013 sehingga November 2013 kami masih belum mendapat hak kami. Untuk pengetahuan semua, selama mana kakitangan tidak dibayar gaji, telah beberapa kali dijalankan usaha untuk menyelesaikan masalah ini.

Kakitangan yang terlibat telah membuat beberapa aduan kepada Pejabat Buruh dan ada dari kalangan kami yang cuba membawa isu ini kepada pengetahuan YAB Menteri Besar, PTPTN, KPT, KWSP, dan Sultan Terengganu dengan harapan ia akan mendapat perhatian sepatutnya.

Kami sebagai kakitangan kolej cuba bersikap seberapa neutral mungkin dalam mengharungi masalah ini. Walaupun begitu, kami turut kesal apabila melihat kewujudan pengaruh politik tidak sihat sehingga menyebabkan berlakunya penindasan dan penganiayaan yang tidak sepatutnya berlaku di dalam sebuah organisasi Islam seperti ini.

Kami merasa cukup terkilan, ingin kami jelaskan di sini, sebahagian besar daripada kakitangan yang teraniaya ini bukanlah mereka-mereka yang mempunyai kuasa untuk membuat keputusan penting yang bakal menentukan halatuju syarikat. Sebaliknya, majoriti dari kami adalah diamanahkan dengan tugas-tugas harian separa professional dan sokongan.

Majoriti dari kami ditawarkan kadar gaji yang rendah berbanding mereka yang berjawatan tinggi. Contohnya, gaji kasar pensyarah pengajian umum hanyalah RM 1000.00 dan elaun RM500.00 sebelum ditolak Sosco dan KWSP. Berdasarkan bidang tugas urus tadbir pejabat, penyelenggaraan, sistem maklumat dan pendidikan, gaji kami sememangnya tidak tinggi dan kini kami dihimpit masalah kewangan yang memeritkan.

Kami juga mengalami Tunggakan KWSP yang sangat besar jumlahnya sedangkan gaji dipotong setiap bulan, tunggakan bayaran kepada SOCSO meskipun potongan gaji dibuat setiap bulan, ramai menyatakan HUTANG KIST menjejaskan operasi KIST.

Gaji dan hutang KIST tidak mampu mengatasi ASET KIST.
Maka staf KIST yang ditunjangi hampir 500 tenaga akademik dan 100 tenaga pengurusan akan dikurangkan menyusut hampir 40-50% jumlah yang ada demi mengurangkan kos-kos perbelanjaan dan hutang yang dialami oleh pihak KIST yang sangat banyak.

Graduan KIST sukar mendapat kerja
Daya saing pasaran kerja yang cukup tinggi. Rata-rata majikan meragui krebiliti KIST sebagai institusi pgajian swasta. Kebanyakan Graduan KIST terpaksa bersaing dengan banyak kolej swasta dan pengajian awam yang lain, graduan KIST terpaksa melalui alam graduasi yang mencabar dengan keadaan kadar pengangguran yang tinggi di negara ini.

Pelajar KIST dianiaya
Sungguh, kami berasa sangat kasihan kepada pelajar KIST kerana (menahan) lapar kerana sangat sukar mendapat sumber makanan di kolej. Hanya ada sebuah sahaja kafe kolej yang hanya beroperasi bermula jam 8 pagi hingga 3 petang, kebanyakan pelajar tidak sempat membeli makanan kerana mempunyai jadual yang padat. Kedai serbaneka yang ada yang dimiliki oleh KIST holding kewujudannya tidak memberi manfaat pada pelajar kerana tiada barang-barang makanan yang dijual disebabkan rekod imej buruk hutang tertunggak yang tinggi, pembekal tidak mahu membekal stok makanan melainkan KIST holding membayar kesemua hutang tertunggaknya.

Dengan pinjaman PTPTN yang tinggi untuk satu kos pengajian sebanyak RM 45 000.00, pelajar KIST bakal diisytihar muflis selepas graduasi. Pihak pentadbiran hanya memberi RM200 sebulan elaun wang saku di dalam bentuk kad wang (E-purse) hanya boleh digunakan di dalam kolej yang diambil dari pinjaman PTPTN pelajar dan hanya diberikan kepada pelajar cemerlang yang mendapat pointer atas 3.5, kasihan kepada pelajar yang keluarganya berpendapatan rendah yang sudahlah berhutang pengajian dan terpaksa mengikat perut kerana perbelanjaan kos makanan perlu ditanggung sendiri.

Sekarang pelajar-pelajar menghadapi masalah kekurangan tenaga pengajar kerana sudah ramai pensyarah yang sudah mula berhenti, jadi, banyak subjek yang tidak diajar kerana ketiadaan tenaga pengajar. Pensyarah yang sedia ada dibebani pula dengan jam kredit mengajar yang sangat tinggi dan ini menambah stress juga bebanan kerja. Terlalu banyak yang ingin ditulis berkenaan KIST, hanya sedikit perkongsian dari kami hanya untuk mengharapkan bantuan dan perhatian dari media agar hak kami terbela. Mengharapkan kesengsaran kami berakhir secepat mungkin.

Yang benar,
PENSYARAH & PELAJAR KIST YANG TERANIAYA


Read more

Comments