Showing posts with label Kasta. Show all posts
Showing posts with label Kasta. Show all posts

Kasta itu cermin


"Great people talk about ideas, average people talk about things, small people talk about other people"

Terjemahan literal petikan di atas bermaksud, "Orang yang hebat bercakap tentang idea-idea, Orang biasa bercakap tentang perkara-perkara (??), orang kecil bercakap tentang orang lain".

(Amaran, beberapa ratus perkataan seterusnya mungkin kelihatan kering dan karut kepada yang bukan ahlinya. Tulisan ini juga langsung tidak bersandarkan mana-mana sanad dan kajian saintifik. Teruskan membaca di atas pilihan sendiri)

Pasti ramai dari kalangan kita yang pernah merlihat, mendengar, membaca atau terpanah hatinya dengan quote yang sedikit rasis seperti di atas. Namun setiap individu punyai kanta takrifan mereka yang tersendiri, kanta yang sentiasa termaktub kepada perbezaan pandangan.

Antara takrifan umum yang dapat diekstrak dari petikan itu adalah perihal pemikiran, perilaku dan buah kata orang-orang hebat sentiasa berkisar tentang idea, sesuatu yang besar skalanya, menyeluruh, dan membawa kepada sesuatu yang lebih baik.

Siapa pencipta petikan ini?


Di zaman serba canggih kini, semua orang boleh sahaja Google petikan tersebut untuk mengetahui siapakah yang mula mempopularkan petikan tersebut. Dapat kita rumuskan di sini bahawa kelahiran petikan ini adalah bertunaskan idea orang yang hebat juga. Mana mungkin kata orang kerdil akan didengari?

Juga timbul kemungkinan atau keperluan untuk mencerakinkan masyarakat dengan strata golongan yang hebat dan tidak hebat. Satu kemungkinan yang cuba ditimbulkan mereka yang ingin berada di dalam strata yang unggul.

Peribahasa Melayu ada berbunyi "Masuk bakul dan angkat sendiri". Mungkin kedengaran terlalu jujur, secara terperinci golongan ini mahukan label kehebatan itu dan cuba memperlihatkan atau menerangkan sifat kehebatan kepada masyarakat sebagai karekter pemikir idea.

Maksud Great people


Golongan yang hebat bukan sahaja terdiri dari mereka yang mahu kehebatan mereka ditelanjangkan-bulatkan. Juga bukan hanya mereka yang mahu membina tembok sosial yang berduri runcing di kalangan masyarakat. Kerana maksud kehebatan ini sangatlah subjektif.

Penilaian ke atas sesuatu kehebatan itu tidaklah terlalu rumit, namun tidak masuk akal untuk kita ukur kehebatan keupayaan seekor ikan untuk memanjat pokok berbanding seekor kera. Oleh sebab itulah, Great people boleh ditakrifkan pada berbilang-bilang kriteria.

Kita mungkin seorang yang hebat di tempat kerja, atau di dapur. Tetapi mungkin terkebelakang di jalan raya atau sekolah. Seorang pengurus yang cemerlang, tukang masak yang celoteh di sebaliknya seorang pemandu kurang ajar atau muslim yang ingkar?

Hakikatnya terlalu luas dan terlalu dangkal untuk ditakrifkan seorang yang hebat hanya kerana kriteria pemikirannya.

Kasta itu cermin


Petikan yang dibincangkan ini menerangkan komparatif 3 strata sosial masyarakat, secara amnya. Bermula dengan menandakan manusia hebat, pertengahan dan juga yang kerdil sebagai yang paling hina.

Sekiranya diandaikan kelahiran petikan ini sepertimana yang diperkata, tanpa mengira tanda ukur kehebatan, orang yang hebat sebenarnya mahukan diri mereka diperkatakan hebat.

Jelas menunjukkan mereka sendiri memperkatakan tentang orang lain. Kerana mereka pedulikan strata orang lain untuk menaikkan darjat mereka.

Mereka juga jelas terganggu jika aurat kehebatan mereka tertutup dan tidak terpamer. Jadi dasarnya orang yang hebat itu adalah sama dengan orang yang mereka perkatakan sebagai kerdil itu.

Orang kerdil


Tidak dinyatakan di dalam petikan tersebut, adakah orang yang kerdil adalah sesuatu yang inferior? Namun secara logik, orang yang kerdil adalah yang paling jauh dari kehebatan. Bahasa jujurnya paling dekat dengan kehinaan di mana statusnya direndahkan.

Di dalam variasi lain, petikan itu menerangkan Small minds berbanding Small people. Minda-minda yang kerdil ini dianggap tercorot kerana tidak bercakap tentang buah fikiran tetapi hanya fokus kepada orang lain.

Sejauhmana bercakap atau mengambil berat tentang orang lain menyebabkan sesuatu golongan itu tidak boleh dilabelkan sebagai hebat.

Golongan kerdil ini mungkin banyak bergaul dengan masyarakat, mereka juga mungkin lebih peka tentang persekitaran masyarakat kerana topik bualan mereka adalah manusia. Pada skala yang besar, setiap orang-orang kerdil ini punyai jaringan network mereka.

Kitaran Masyarakat


Samapi ke satu tahap, ruang di antara strata unggul dan strata hina itu bagaikan tiada. Mereka umpama saling melengkapi satu dengan lain. Bahkan tidak mustahil mereka ini adalah orang yang sama.

Jelas sekali hidup adalah satu kitaran. Pada dasarnya kedua-dua golongan adalah sama. Perbezaannya hanya roda kitaran mereka yang menentukan tingkat hidup pada satu-satu waktu dan ketika.

Yang tercorot itu tidaklah sekerdil mana. Yang terhebat itu pula tidaklah berkerlipan sentiasa, ada kalanya malap jua.

***

Orang yang hebat maksudnya terlalu subjektif dan tertakhluk kepada peringkat kitaran hidup dan ruang masa mereka. Untuk menjadi hebat, bercakap sahaja mungkin tidak mampu menghasilkan apa tanpa kelangsungan tindakan.

Petikan di atas boleh dikupaskan di dalam pelbagai bentuk perbincangan lain seperti motivasi, agama, sosial dan lain lain. Tetapi tidak kali ini.

Semua jari kembali menunding kepada diri sendiri.

It is our choice, your choice. You've been warned though.
Read more

Comments