Showing posts with label Islam. Show all posts
Showing posts with label Islam. Show all posts

Bukan Anjing yang hina Islam

Di sebalik rimbunan kes jenayah-bunuh-tembak yang makin berleluasa kini, negara kita sempat juga bergolak dengan isu penghinaan terhadap agama Islam, terutama di bulan puasa dan sambutan Hari Raya.



Ramai yang terasa seperti terancam sifat-sifat ke-Islam-an dan ke-Melayu-an mereka apabila berdepan dengan isu seorang jurulatih Maznah Mohd Yusof berinteraksi dengan riang bersama-sama sejenis haiwan bernama anjing.

Read more

Nikah Connecting People



Nikah dan duit bersendi rima
Bukan seringgit dua
Tapi ada yang sampai bergadai harta
Bukan kerana air naik kepala
Tapi tuntutan fitrah sesama manusia
Bukan mencari isteri semata
Tapi mencari yang layak untuk anak-anak kita juga

Nikah dan mas kahwin terbalut satu warna
Bukan matawang menjadi skala
Tapi seikhlas budi menabur cinta
Kadang tuan badan langsung tak berkira
Tapi saudara mara pula yang terlebih mengada
Benda baik kenapa nak disusah usaha
Bukan berdosa
Bahkan dapat pahala

Nikah dan kenduri bagai masyhur sastera
Umpama pelengkap bunga dan kumbangnya
Seumur hidup sekali sahaja
Tapi bukan alasan untuk membazir wang dan masa
Kalau kamu rajin berusaha 
Mungkin menikah buat kali kedua tiga dan empatnya
Tapi kini makin terpesong kenduri kendara
Menjadi medan riak dan bermuka-muka
Moga kita dijauhkan dan dipelihara
Dari turut sama dibelit dengan adat ular sawa!

Nikah sebenarnya berlagu dengan agama
Adat dan budaya itu nombor dua
Biarkan mulut mereka menabur kata
Jawab pada mereka "Ma Rabbuka?"
Bukan sekadar berkahwin tapi berkeluarga

Menjaga anak isteri bukan sekadar makan dan pakai sahaja
Jangan sampai menjadi bara neraka
Merah menyala sesal kelalaian dunia

p/s: Pesanan buat diri sendiri dan rakan-rakan
pp/s: Sorry lama tak update, sibuk sikit
ppp/s: Jemput mai kenduri hahaha





Read more

Cara-cara Orang Cina Masuk Islam Part 2



Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Jika anda seorang yang berbangsa Cina dan anda merasakan anda memerlukan maklumat tambahan tentang agama Islam tanpa diskriminasi Kemelayuan, anda amat digalakkan untuk mengikut penulisan Cara-Cara Orang Cina Masuk Islam ini.

Tapi sekiranya anda seorang Muslim, mungkin dari bangsa Melayu yang inginkan pendapat alternatif tentang konflik Kemelayuan Islam di Malaysia, anda sememangnya beruntung jika anda berkeputusan untuk teruskan membaca.

Maaf kerana terpaksa memetik bunyi gitar perkauman, harap-harap lantunan nadanya lunak belaka. Ini kerana tuhan ciptakan kita berbeza-beza dari pelbagai puak dan kaum bukan untuk kita saling tikam menikam. Tetapi untuk kita saling mengenali dan berhikmah serta beroleh manfaat daripada perbezaan ini.

Cina dan Kain Pelikat

Orang Cina tak perlu memakai kain pelikat untuk masuk Islam. Ini mungkin kedengaran agak kelakar bagi segelintir individu. Tetapi ini sedikit sebanyak adalah faktor yang mempengaruhi kekeliruan bangsa Cina terhadap pemakaian kain pelikat.

Bangsa Cina yang memeluk Islam tidak perlu memakai kain pelikat untuk bersolat ataupun melakukan apa-apa bentuk aktiviti keagamaan.Kain pelikat atau sarong itu sendiri adalah entiti halus yang menghantui ajaran Islam versi Melayu di Malaysia ini.

Seorang penganut Islam bebas mengenakan apa jenis pakaian sekalipun ketika melakukan aktiviti spiritual mereka, asalkan ianya tidak mempamerkan aurat. Muslim dari kalangan bangsa Cina bebas mengenakan pakaian tradisi mengikut budaya mereka sebagaimana bangsa Melayu memakai Baju Melayu, Kurung dan sebagainya untuk aktiviti yang melibatkan agama Islam.

Majlis Perkahwinan

Majlis perkahwinan Muslim Melayu khususnya di Malaysia ini banyak mempamerkan unsur kebudayaan berbanding unsur keagamaan. Dari segi pemakaian, sambutan, dekorasi dan pengisian majlis itu sendiri.

Masyarakat Cina tidak perlu bimbang untuk mengadakan majlis mengikut tradisi mereka. Mereka bebas untuk menggunakan pakaian, sambutan dan juga jamuan mengikut budaya mereka selagimana ianya tertakhluk di dalam hukum Islam yang indah.

Sesetengah sambutan majlis perkahwinan Melayu sendiri didapati tidak mengikuti garis panduan yang ditetapkan Islam. Agama suci ini tidak sekali-kali mendiskriminasi adat dan budaya mana-mana kaum selagi mana ianya tidak mendatangkan mudharat dan bertentangan dengan hukum.

Respons Pembaca

Ekoran dari beberapa entry tentang Islam dan Masyarakat Cina di Malaysia. Saya telah mendapat beberapa email bertanyakan tentang maklumat yang lebih lanjut mengenai agama ini. Saya amat menghargai usaha anda untuk menghubungi saya.

Saya berjanji akan sedaya upaya membantu anda, bukan hanya bersebabkan saya mahu anda “revert” kepada Islam, tetapi untuk berkongsikan keindahan agama ini bersama anda.

Sekali lagi, ingin saya tawarkan diri untuk sebarang bantuan atau kemusykilan tentang Islam dan Melayu. Sila hubungi saya di sini.
Read more

Selamat Menyambut Tahun Baru Kristian 2013


Kenapa perlu malu-malu menyebut "Selamat Tahun Baru 2013"? Tak susah pun nak sebut secara sempurna "Selamat Menyambut Tahun Baru Kristian 2013".

Isu ini tak sudah-sudah diperkatakan saban tahun. Tapi sampai ke hari ini ramai yang memberikan alasan itu ini. Patutlah Kristian hari ini dikenali sebagai agama No. 1 dunia, bukannya Islam.

Ramai yang tidak jelas di minda mereka, apa benda yang sebenarnya akan mereka sambut menjelang tengah malam ini.

Cuba semua ucapan Tahun Baru di televisyen, di suratkhabar, di majalah, di jabatan kerajaan, di poster-poster jalanan seluruh negara menyatakan secara penuh "Selamat Tahun Baru Kristian 2013". Pasti lebih meriah sambutannya bukan?

Anehnya komposisi rakyat Malaysia ini majoritinya Muslim tapi mereka lebih selesa untuk menyambut sambutan Tahun Baru Kristian melebihi penganut agama Kristian itu sendiri.

Secara tak langsung, ini menunjukkan tahap kematangan penduduk Malaysia yang berbilang agama untuk sama-sama merayakan perayaan mereka. Sifat kemajmukan ini lebih terserlah apabila hampir di setiap ceruk negeri diadakan sambutan Tahun Baru Kristian.

Mungkin sebab itu jugalah rakyat Malaysia tidak langsung ambil endah bila penggunaan perkataan Allah untuk digunakan dalam Bible bahasa Melayu oleh penganut Kristian tanah air.

Terdapat segelintir Muslim cuba untuk hijack kemeriahan perayaan Kristian ini dengan mengadakan majlis yang dipengaruhi rentak agama Islam. Supaya mereka dapat memenuhi kehendak insan-insan yang prihatin untuk mengelakkan berlakunya kemaksiatan yang berleluasa.

Merayakan perayaan Kristian dengan cara Islamik? Pelik tapi benar. Tapi itulah cara kita. Mungkin tak ada lagi di mana-mana tempat lagi di dunia, only in Malaysia.

Mungkin nanti perayaan Maal Hijrah, penganut agama Kristian akan bertungkus lumus memeriahkan sambutan Tahun Baru Hijriah sama seperti kemeriahan yang Muslim merayakan sambutan Tahun Baru Kristian mereka.

Bawa bertenang, dan ingat tuhan. Takkan tuhan Yesus pulak kan?






Read more

Fenomena Ustaz/Ustazah Google



“Kenapa perlu aku berguru dengan alim ulama kalau ada Pakcik Google di sisi?”

Suatu masa dulu, mempelajari ilmu agama hampir dianggap sebagai satu “struggle”. Ianya menuntut perjuangan dan pengorbanan seseorang itu untuk mencari guru dan berusaha mempelajari ilmu darinya. Tapi kini tidak lagi dengan adanya Pakcik Google di sisi.

Adakah salah menjadi seorang Ustaz/Ustazah Google?

Apakah itu Ustaz/Ustazah Google? Ustaz = Professor. Tapi secara lokal, Malaysia khususnya, Ustaz merujuk kepada “seorang yang ahli dalam bidang agama”. Google pula sejenis search engine yang digunakan oleh jiwa-jiwa manusia untuk mencari sesuatu perkara di internet.

Segelintir dari kita kini tidak lagi meraikan pandangan ulama dengan cara merujuk kepada mereka secara bersua muka. Lebih mudah mereka cari hukumnya di Google tanpa mereka perlu tahu sebab dan musababnya. Lebih mudah dan lebih cepat, tanpa pedulikan kesahihannya.

Implikasi dan Kesan

Aku kadang loya dengan kesekian kali terbitan hukum sana sini yang diadu domba sesetengah golongan. Mari kita bincang implikasi. Implikasi di sebalik fenomena Ustaz/Ustazah Google, atau orang arab panggil Sheikh Googla.

Wujudnya penyebaran pelbagai macam cerita dan hukum, Dari tok guru masjid hinggakan ke Syeikh Nuruddin. Dari tok mudim kampung hinggakan Ustaz Haron Din, selamba sahaja nama-nama alim ulama ini dipetik habuan penyedap cerita.

Golongan ini sering membawa arus kecelaruan terhadap minda-minda yang kurang tegukkan ilmu agamanya. Kerana mereka mengambil jalan mudah untuk bersandar kepada usaha orang lain untuk mencari hukum tanpa mereka berusaha sendiri mencarinya.

Fenomena ini sekiranya ianya dapat diperhalusi oleh golongan Bukan Islam, maka akan tumbuh dalam hati mereka mengatakan bahawa betapa jahilnya umat Islam ini, sesama sendiri keliru tentang agama sendiri.

Implikasi terburuk fenomena ini adalah jika berlakunya keterpesongan aqidah. Di mana sebaran-sebaran cerita palsu dan hukum hakam yang tahyul di ambil bulat-bulat tanpa merujuk kepada mana-mana ulama. Dan lebih teruk lagi apabila wujudnya aktiviti mentakfir (mengkafirkan) orang lain.

Lidah, adalah antara organ paling bahaya. Amat mudah untuk terperosok ke dalam neraka jika kita tidak berhati-hati menggunakannya.

Sebagaimana mudahnya lidah dihinggapi penyakit caci maki, mengejek, mengumpat, memfitnah, sumpah palsu, dusta, pecah rahsia/amanah dan sebagainya.Begitu jugalah peranannya keyboard komputer dan telefon bimbit mengadun resipi untuk ke neraka.

Lidah, pena dan jari yang tidak beradab akan cenderung membuahkan kebencian bila berlaku perselisihan pendapat. Kerana mungkin mereka tak praktikkan keberadaban seseorang ilmuan. Hasilnya wujudlah komuniti Muslim yang bertaring, fanatik dan rigid.

Sila klik untuk paparan lebih jelas


Apa yang Pakcik Google cicirkan?

Selain ilmu yang diajar, pergaulan dengan orang berilmu menambah berkat dengan ilmu yang ingin dipelajari. Pelajar boleh mengamati akhlak dan adap guru untuk dijadikan teladan dan mungkin sempadan.

Lihat bagaimana guru itu perjelaskan sesuatu permasalahan, bagaimana dia melayan karenah anak didiknya, bagaimana dia bergaul dengan masyarakat, bagaimana dia berdakwah dan berhikmah kepada yang bukan muslim, bagaimana dia disanjungi dan dimuliakan oleh pelajar dan guru agama yang lain.

Pakcik Google juga tak dapat menyemai nilai keakraban sesama guru dan murid serta kemurnian yang terbit dari celahan senyuman guru menegur pelajarnya. Bukan sahaja dari segi keilmuan, bahkan dari segi sikap dan akhlak anak muridnya sesama mereka dan sebagai seorang muslim secara keseluruhannya.

Namun begitu, masih ramai anak murid ulama yang hanya mampu mewarisi ilmu yang dipelajari namun tidak mampu mewarisi akhlak dan adap guru mereka. Kalau belajar dengan guru pun tak mampu nak beradap, apatah lagi kalau belajar dengan Pakcik Google.

Jelas sekali ini bukanlah salah Pakcik Google. Beliau bukanlah seekor kambing hitam untuk menerajang tingkah laku si penyubur benci ahli agama kita sering lihat memporak-perandakan perbincangan agama di dada-dada Chrome, Mozilla, Opera dan yang sewaktu dengannya.

Maaf cakap, golongan inilah yang kelihatan lebih suka menabur hukum tanpa memikirkan implikasi dan hikmah disebalik apa yang berlaku. Mereka lebih selesa mencari salah dari membantu memberi jawapan dan mencadangkan solusi.


Adakah ini rupanya Ustaz Google?



Tangani masalah ini

Think Twice. Mohon diamalkan amalan “berfikir dua kali” sebelum sebarkan apa-apa jenis sebaran. Peransang utama untuk berfikir kali kedua adalah dengan melalukan penyelidikan dan pengesahan terlebih dahulu sebelum anda meneruskan langkah menyebarkan dakyah/dakwah tersebut.

Sekiranya anda punyai rakan kawan dari kalangan agamawan, ustaz dan orang lama, mohon utamakan persoalan-persoalan yang bersangkut paut dengan bahan sebaran untuk dapatkan pendapat merkea. Gunalah apa cara jua sekalipun menggunakan facebook dan email.

Andai kata segenap pelusuk dunia online dan offline anda tidak mampu memberikan kesahihan yang konkrit. Maka ambillah wudhu dan tunaikanlah solat Istikharah jika anda merasakan ke-tidak-sebaran anda itu membawa mudharat kepada seluruh umat Islam di dunia.

Orang yang tak tahu, berhak bertanya. Yang tahu, bertanggungjawab untuk berikan jawapan. Tapi yang tak tahu, mohon jangan berhujah, kerana kalau dia berhujah risau ramai akan terpalit kesesatan.

Akhirkata, sama ada Pakcik Google, Mak Ndak Twitter mahupun Tok Batin Facebook, siapalah jua namanya, mereka ini terhasil daripada jaringan internet.

Internet umpama pisau, pisau yang berbilang gunanya, kalau bernasib baik dapat makan daging rusa, tapi silap hari bulan terburai perut sendiri pula. Bergantung kepada kita yang baik yang mana buruknya.

Dua tiga kucing berlari,
Mana nak sama si kucing belang,
Dua tiga hukum diberi,
Mana nak sama si Ustaz Google-ku seorang.
Read more

Cara-cara Orang Cina nak masuk Islam (Part 1)

Gambar Hiasan
Prosedur untuk masuk Islam

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh 
Secara ringkas, berikut adalah prosedur mudah untuk memeluk Islam secara rasmi:

  • Hadir ke Masjid, Pejabat Agama atau mana-mana badan/organisasi punyai kapasiti untuk mendaftar Saudara baru.
  • Bawa bersama salinan Mykad dan gambar passport.
  • Penerimaan kad Akuan Masuk Islam
  • Sesetengah organisasi mungkin menggalakkan/menyediakan kursus bimbingan untuk Saudara Baru.
Ini adalah antara prosedur memeluk Islam secara rasmi. Sebenarnya untuk memeluk Islam, memadai dengan mengucap dua kalimah syahadah serta memahaminya. Dan diikuti dengan amalan sebagai seorang Muslim yang berpegang kepada rukun Iman dan rukun Islam.

Kenapa Cina?

Sejak penulisan entry tentang Cina masuk melayu dulu, aku dapati banyak keyword yang menarik singgah masuk ke blog ini. Antaranya Cina masuk Islam, Cina pakai kain pelikat, Cina kahwin melayu dan yang paling sentap adalah keyword “Cara Cina Masuk Islam”.

Lebih kesal, apabila search keyword itu, tiada satu pun page yang dapat memberikan maklumat tepat seperti yang dihajati. Cuba bayangkan betapa sayunya hati seorang insan yang ingin mencari maklumat itu (mungkin dia dari kalangan Bangsa Cina).

Oleh itu aku mengambil inisiatif untuk mewujudkan satu entry, yang aku harap akan mendapat hits di kalangan Bangsa Cina yang ingin mempelajari tentang Islam di Malaysia khususnya. Bukan hanya entry bahkan aku akan cuba hidupkan satu niche di internet tentang Islam dan Cina di Malaysia agar lebih banyak lagi dapat beroleh manfaat.

Mungkin ramai akan beranggapan sedikit rasist apabila mengketengahkan bangsa Cina di sini. Sebenarnya memang sengaja dihighlight bangsa Cina. Bukan bermakna ingin meng-anak-tiri-kan bangsa lain seperti India, Siam, Singh, Yahudi dan lain lain. Tetapi penulisan ini memang dikhaskan untuk bangsa Cina. Bangsa lain InsyaAllah akan menyusul di kemudian hari.

Jangan risau, Islam itu universal, cuma ingin dispesifikkan penerangan kepada Bangsa Cina yang merupakan bangsa kedua paling ramai di Malaysia.

Kenapa perlunya memeluk Islam secara Rasmi? 

Memeluk Islam secara rasmi memudahkan urusan yang berkaitan agama di masa hadapan. Contoh paling dekat adalah zakat kepada golongan yang baru memeluk Islam. Ini kerana institusi zakat memerlukan seseorang itu menyediakan dokumen perakuan Muslim untuk menerima zakat. 

Begitu juga dengan urusan nikah, cerai, rujuk, kematian, anak-anak dan lain-lain lagi. Sekiranya seseorang itu tidak dapat diperakukan sebagai Muslim secara rasmi, ini akan merumitkan urusan-urusan yang berkaitan.

Apa perlu masyarakat Cina buat sebelum masuk Islam?

Persediaan mental dan fizikal untuk komited terhadap agama Islam. Terdapat keperluan untuk memberitahu ahli keluarga terutamanya ibubapa tentang pengislaman. Seeloknya terangkan sebab musabab mengikut logik akal dan bukan berat sebelah pada Islam.

Ini kerana mereka (bukan Islam) mungkin masih terkeliru dengan agama ini. Andai kata pengislaman ini mendapat tentangan, diharap dapat bertenang dengan ahli keluarga. Buktikan bahawa tidak menjadi masalah untuk berkeluarga dengan mereka yang bukan Muslim.

Lama-kelamaan mereka akan menerimanya, InsyaAllah.

Khatan dan Saudara Baru

Ramai yang sedia maklum perkahwinan menjadi salah satu punca utama Bangsa Cina memeluk agama Islam di Malaysia. Berkhatan kedengaran seperti satu jenis phobia yang menghantui golongan yang berpotensi memeluk agama ini.

Namun hari ini ramai yang sudah mengetahui kelebihan berkhatan. Dan mereka mula melakukannya tanpa mengira bangsa dan agama. Kerana sudah timbul pendedahan dan pemahaman yang tepat tentang berkhatan.

Khatan sememangnya mustahil untuk dijadikan sebagai salah satu alasan. Ini kerana hukum khatan di dalam Islam, mengikut beberapa pandangan Ulama adalah tidak wajib, ianya sunnah yang amat digalakkan.

Maka tidak menjadi satu halangan bagi bangsa Cina untuk memeluk Islam. Mereka boleh berkhatan apabila mereka sudah sedia.

Apa yang ditakutkan masyarakat Cina

Jelas di sini ajaran Islam sebenarnya tidak menjadi halangan besar untuk bangsa Cina memeluk Islam. Yang menjadi halangan utama adalah “Kemelayuan”.

Masyarakat Cina amat menitik-beratkan kebudayaan dan adat mereka. Jelas sekali mereka terkeliru kerana bangsa Melayu telah menerapkan ke-Melayu-an mereka ke dalam agama. Sehinggakan masyarakat Cina merasakan ke-Cina-an mereka terancam.

Ada yang merasakan mereka akan dipulaukan sekiranya memeluk Islam kerana masih ramai sanak saudara dan rakan-rakan mereka terkeliru antara Islam dan Melayu.

Masyarakat Melayu secara separa sedar telah menimbulkan “the sense of belonging” terhadap Islam sebagai hak Melayu. Islam Melayu inilah yang menyukarkan penembusan potensi memeluk Islam kepada masyarakat Cina.

Tindakkan mereka mengadun budaya dan adat ke dalam ajaran Islam adalah tidak salah, bahkan Melayu itu sendiri banyak terpengaruh dengan masyarakat Arab, adakalanya terlebih-lebih dari Pak Arab sendiri!

Contoh yang sememangnya popular adalah baju melayu untuk ke masjid, ketupat dan rendang di hari raya dan lain lain lagi.

Post ini akan sentiasa diupdate dengan link-link siri penulisan Cara-cara Orang Cina nak masuk Islam di masa hadapan. Sememangnya memeluk Islam langkah awal untuk mencapai kesejahteraan hidup. InsyaAllah banyak lagi isu dan penerangan serta Q&A akan diterbitkan di masa akan datang.

Sebenarnya aku masih terkilan, kerana aku tak mampu menulis dalam bahasa yang memudahkan masyarakat Cina faham inti pati yang ingin aku jelaskan.

Sekiranya anda seorang yang berbangsa Cina dan ingin penerangan yang lebih mudah dan mesra tentang Islam, mungkin bersama seorang yang sama bangsa dengan anda, sila hubungi saya. Atau anda boleh berinteraksi dalam group facebook Malaysian Chinese Muslim Association (MACMA).
Read more

Comments