Showing posts with label INSANIAH. Show all posts
Showing posts with label INSANIAH. Show all posts

Kolej Islam Sains dan Teknologi (KIST) gagal bayar gaji kakitangan


Berikut adalah satu lagi kes yang hampir sama dialami oleh staf IHSB. Tidak mengejutkan apabila terdapat beberapa perenggan di dalam penulisan ini saling tidak tumpah dengan post Kolej Universiti Insaniah vs INSANIAH Holding Sdn. Bhd.

Kolej terbabit adalah Kolej Islam Sains dan Teknologi yang seratus peratus sebuah IPTS yang bukan di bawah pentadbiran kerajaan. Selain dari masalah gaji kakitangan, terdapat banyak lagi masalah yang berkaitan pelajar dan kemudahan di kolej terbabit.

Diharap mereka-mereka yang teraniaya ini mendapat pembelaan sepatutnya. Situasi malang ini tidak sepatutnya berlaku di dalam sebuah organisasi Islam. 

Ikuti luahan mereka:

PENSYARAH DAN PELAJAR KIST TERANIAYA

Kolej Islam Sains dan Teknologi (KIST) yang induknya berada di mukim telong, Bachok Kelantan merupakan kolej swasta kejururawatan dan sains kesihatan yang terbesar di pantai timur, dibelakang KIST ialah presidennya Muhd Zamly Abdullah, 45 , anak kelahiran kemaman yang tiada kelulusan tinggi dengan sekadar lulusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dibantu oleh isterinya Noraihan Che Ali, 44, Ketua Pegawai Operasi (COO), adiknya Noor Haslina Abdullah, 42, Pegawai Eksekutif (CEO) , adik Iparnya Mohd Zaidi Yusof (CEO terengganu) bersama isterinya Nor Maiza Abdullah (COO Terengganu) dan Mohd Abdullah sebagai pengurus sumber manusia.

Syarikat swasta yang berorientasikan perniagaan keluarga ini baru sahaja memasuki lapan tahun penubuhannya semakin merudum prestasi dan bertambah imej buruknya. Masalah demi masalah berlaku, masalah yang ada tetap tidak dapat diselesaikan malah makin bertambah hari ke hari. Terlalu banyak yang perlu diperbaiki dari segi kelewatan pembayaran gaji kakitangan, tunggakan gaji pensyarah locum dan pengajar praktikal (LP), Tunggakan bil api dan bil air, tunggakan pembayaran rumah sewa pelajar, tunggakan pembayaran elaun pelajar, kualiti tenaga pengajar, kelayakan dan berpengalaman, bilangan tenaga pengajar, kemudahan pengajian, prasarana , bilik kuliah, tandas, kualiti pengurusan, bilangan staf, kualiti staf, portal kolej, kualiti sukan, bilangan sukan, prasarana sukan, kos sukan, kejayaan sukan, penyertaan sukan, aktif sukan, kualiti makmal, makmal sains, makmal multimedia, makmal komputer, makmal ujikaji, makmal persidangan, kualiti perpustakaan, bilangan buku, bilangan bahan bacaan, kemudahan penginapan, kemudahan kedai, kemudahan dan aset tetap KIST.

Antara masalah prasarana contohnya boleh dilihat apabila bangunan pentadbiran dan bilik kuliah yang sudah siap terbengkalai sudah hampir 3 tahun disebabkan tiada kelulusan CF terbiar begitu sahaja tanpa manfaat dan merugikan.

Pensyarah Dan Staff Tidak Dibayar Gaji Hampir 4 Bulan

Presiden sepatutnya lebih prihatin dan mengambil tindakan segera untuk menyelesai tunggakan gaji yang memasuki bulan keempat. Kesal dengan tindakan majikan KIST yang sehingga sekarang gagal menyelesaikan tunggakan empat bulan gaji kepada hampir 600 kakitangannya. Ini merupakan satu penderaan kepada mereka, yang mana kebanyakkan mereka terpaksa berhadapan dengan tunggakan hutang, apatah lagi pada Hari Raya Aidilitri dan Hari Raya Aidil adha lepas mereka menyambut dalam keadaan kewangan yang tidak mencukupi, tidak dibayar gaji, kakitangan juga menghadapi masalah status gantung tidak bertali.

Kami berdepan dengan situasi yang mudah digambarkan sebagai “Constructive Dismissal”. Di mana majikan gagal membayar gaji dan gagal memberi penjelasan tentang status penjawatan kami. Keadaan ini membawa tekanan kepada kakitangan dan membuatkan ramai yang ingin meletakkan jawatan.

Masalah kelewatan pembayaran gaji sudah berlaku pada tahun 2011 lagi. Pembayaran gaji dibuat secara tidak menentu, bahkan setiap bulan terlewat, sama ada sengaja dilewatkan atau pentadbiran buat-buat lupa bahawa kakitangan KIST perlu dibayar gaji mendera hampir 600 orang kakitangan yang terpaksa berdepan dengan kesulitan kerana tidak mendapat gaji.

Tahun 2013 masalah kelewatan gaji yang paling teruk dialami oleh kakitangan tertunggak hampir 4 bulan dari bulan Ogos 2013 sehingga November 2013 kami masih belum mendapat hak kami. Untuk pengetahuan semua, selama mana kakitangan tidak dibayar gaji, telah beberapa kali dijalankan usaha untuk menyelesaikan masalah ini.

Kakitangan yang terlibat telah membuat beberapa aduan kepada Pejabat Buruh dan ada dari kalangan kami yang cuba membawa isu ini kepada pengetahuan YAB Menteri Besar, PTPTN, KPT, KWSP, dan Sultan Terengganu dengan harapan ia akan mendapat perhatian sepatutnya.

Kami sebagai kakitangan kolej cuba bersikap seberapa neutral mungkin dalam mengharungi masalah ini. Walaupun begitu, kami turut kesal apabila melihat kewujudan pengaruh politik tidak sihat sehingga menyebabkan berlakunya penindasan dan penganiayaan yang tidak sepatutnya berlaku di dalam sebuah organisasi Islam seperti ini.

Kami merasa cukup terkilan, ingin kami jelaskan di sini, sebahagian besar daripada kakitangan yang teraniaya ini bukanlah mereka-mereka yang mempunyai kuasa untuk membuat keputusan penting yang bakal menentukan halatuju syarikat. Sebaliknya, majoriti dari kami adalah diamanahkan dengan tugas-tugas harian separa professional dan sokongan.

Majoriti dari kami ditawarkan kadar gaji yang rendah berbanding mereka yang berjawatan tinggi. Contohnya, gaji kasar pensyarah pengajian umum hanyalah RM 1000.00 dan elaun RM500.00 sebelum ditolak Sosco dan KWSP. Berdasarkan bidang tugas urus tadbir pejabat, penyelenggaraan, sistem maklumat dan pendidikan, gaji kami sememangnya tidak tinggi dan kini kami dihimpit masalah kewangan yang memeritkan.

Kami juga mengalami Tunggakan KWSP yang sangat besar jumlahnya sedangkan gaji dipotong setiap bulan, tunggakan bayaran kepada SOCSO meskipun potongan gaji dibuat setiap bulan, ramai menyatakan HUTANG KIST menjejaskan operasi KIST.

Gaji dan hutang KIST tidak mampu mengatasi ASET KIST.
Maka staf KIST yang ditunjangi hampir 500 tenaga akademik dan 100 tenaga pengurusan akan dikurangkan menyusut hampir 40-50% jumlah yang ada demi mengurangkan kos-kos perbelanjaan dan hutang yang dialami oleh pihak KIST yang sangat banyak.

Graduan KIST sukar mendapat kerja
Daya saing pasaran kerja yang cukup tinggi. Rata-rata majikan meragui krebiliti KIST sebagai institusi pgajian swasta. Kebanyakan Graduan KIST terpaksa bersaing dengan banyak kolej swasta dan pengajian awam yang lain, graduan KIST terpaksa melalui alam graduasi yang mencabar dengan keadaan kadar pengangguran yang tinggi di negara ini.

Pelajar KIST dianiaya
Sungguh, kami berasa sangat kasihan kepada pelajar KIST kerana (menahan) lapar kerana sangat sukar mendapat sumber makanan di kolej. Hanya ada sebuah sahaja kafe kolej yang hanya beroperasi bermula jam 8 pagi hingga 3 petang, kebanyakan pelajar tidak sempat membeli makanan kerana mempunyai jadual yang padat. Kedai serbaneka yang ada yang dimiliki oleh KIST holding kewujudannya tidak memberi manfaat pada pelajar kerana tiada barang-barang makanan yang dijual disebabkan rekod imej buruk hutang tertunggak yang tinggi, pembekal tidak mahu membekal stok makanan melainkan KIST holding membayar kesemua hutang tertunggaknya.

Dengan pinjaman PTPTN yang tinggi untuk satu kos pengajian sebanyak RM 45 000.00, pelajar KIST bakal diisytihar muflis selepas graduasi. Pihak pentadbiran hanya memberi RM200 sebulan elaun wang saku di dalam bentuk kad wang (E-purse) hanya boleh digunakan di dalam kolej yang diambil dari pinjaman PTPTN pelajar dan hanya diberikan kepada pelajar cemerlang yang mendapat pointer atas 3.5, kasihan kepada pelajar yang keluarganya berpendapatan rendah yang sudahlah berhutang pengajian dan terpaksa mengikat perut kerana perbelanjaan kos makanan perlu ditanggung sendiri.

Sekarang pelajar-pelajar menghadapi masalah kekurangan tenaga pengajar kerana sudah ramai pensyarah yang sudah mula berhenti, jadi, banyak subjek yang tidak diajar kerana ketiadaan tenaga pengajar. Pensyarah yang sedia ada dibebani pula dengan jam kredit mengajar yang sangat tinggi dan ini menambah stress juga bebanan kerja. Terlalu banyak yang ingin ditulis berkenaan KIST, hanya sedikit perkongsian dari kami hanya untuk mengharapkan bantuan dan perhatian dari media agar hak kami terbela. Mengharapkan kesengsaran kami berakhir secepat mungkin.

Yang benar,
PENSYARAH & PELAJAR KIST YANG TERANIAYA


Read more

Memorandum Anak Syarikat KUIN kepada YAB MB Kedah


Berikut adalah Memorandum yang telah dipanjangkan kepada YAB Menteri Besar Kedah. Jutaan terima kasih kepada YAB MB kerana sudi meluangkan masa bersama kami.


Sila klik imej di atas untuk besarkan

Datuk Mukhriz Mahathir ada memberikan respons positif semasa pertemuan itu. Begitu juga dengan beberapa kenyataan beliau melalui media:

Mukhriz stressed that the state government's stand was to settle the Insaniah Holdings - set-up by the previous administration to generate funds for Kolej Universiti Insaniah (Kuin), in a gentlemen manner without exposing or shaming anyone.

"Perhaps we can start by investigating the qualification of several staffs who are allegedly related to a senior official (in the holding) since I find it rather bemusing that there were many members of a single family were hired at Insaniah Holdings," he said during a press conference at the side of the 13th state legislative assembly sitting here today.

- New Straits Times

Diharap masalah ini dapat diselesaikan pada kadar segera bagi mengelakkan kesengsaraan kakitangan IHSB terus berlarutan lagi. Kami amat menghormati pendirian YAB MB dalam menjaga privasi pihak yang berkaitan. Saya sendiri menyokong usul untuk melakukan siasatan menyeluruh masalah salahguna kuasa dan hedonisma di dalam organisasi.

Kami amat terbuka untuk memberi kerjasama untuk urusan penyiasatan ini. Kerana ianya amat mustahak untuk YAB MB mendapat maklumat yang tepat dan tuntas dari kedua-dua pihak, baik KUIN dan IHSB sendiri.

Walaupun begitu, kami berharap proses penyiasatan ini tidak akan menangguhkan urusan penyelesaian tuntutan gaji kami yang telah tertangguh lebih dari 3 bulan. Sebagaimana termaktubnya pendirian YAB MB yang memahami masalah rakyat dan menyelesaikan masalah rakyat Kedah yang teraniaya seperti kami ini.
Read more

Kenapa IHSB tuntut dari Kerajaan Negeri


Sepertimana terbitnya keterangan saya yang lepas tentang masalah tuntutan tunggakan gaji yang diajukan kepada YAB Menteri Besar Kedah, saya ingin memberikan pencerahan kenapa isu tuntutan itu ditujukan kepada beliau.

Dengan rasa rendah diri, kami ingin melahirkan rasa kesal apabila YAB Menteri Besar yang juga Pengerusi Ahli Lembaga Pengarah KUIN yang kami hormati, membuat kenyataan bagaikan entiti IHSB dan setiap kakitangan yang bekerja di dalamnya tidak mempunyai apa-apa kaitan dengan Kerajaan Negeri.

Seperti yang saya jelaskan di dalam keterangan sebelumnya, punca kegagalan IHSB membayar gaji kami adalah kerana berlaku masalah aliran kewangan. IHSB dan anak syarikat lain menyediakan kemudahan pembelajaran dan sumber tenaga manusia untuk membolehkan pelajar-pelajar KUIN mendapat servis dan kemudahan yang mereka bayar.

Segala apa yang disediakan oleh IHSB untuk pelajar KUIN telah diperincikan di dalam invois bayaran kepada Bendahari. Invois itu telah dipersetujui dibayar oleh KUIN sebagaimana pembayaran yang dibuat sehingga sekurang-kurangnya April lalu. Namun tiada bayaran dibuat untuk invois bulan Mei hingga kini.

Dengan ini, saya tidak menafikan apa-apa jenis masalah pengurusan dan halatuju syarikat. Tetapi saya menerangkan bagaimana kami dibayar, untuk apa kami dibayar dan siapa yang perlu menjelaskan bayaran.

Penerangan ringkas:
1. IHSB sediakan servis dan kemudahan kepada pelajar KUIN
2. Pelajar bayar yuran kepada KUIN
3. KUIN akan membayar invois yang tertakluk kepada servis dan kemudian yang disediakan IHSB

Oleh sebab itulah kami sebulat suara, cuba membawa isu ini kepada perhatian YAB Menteri Besar sebagai Pengerusi Ahli Lembaga Pengarah KUIN. Kerana kami percaya YAB Menteri Besar akan menjaga kebajikan pelajar dan kakitangan yang berkhidmat untuk INSANIAH.

Seiring dengan status KUIN sebagai sebuah badan berkanun Kerajaan Negeri. Maka tidak menjadi sesuatu yang janggal untuk mengajukan isu tuntutan ini kepada Kerajaan Negeri sendiri. 

Ketahuilah, bahawasanya kami hanyalah kakitangan yang diamanahkan tugas untuk mengoperasikan IHSB dan memastikan segala bentuk servis dan kemudahan disampaikan kepada pelajar KUIN. Untuk menafikan hak kami untuk dibayar gaji, adalah sesuatu yang amat dikesali.

Berkenaan penjelasan status perjawatan kami, sememangnya kami bukanlah di ambil bekerja di bawah Kerajaan Negeri. Kami semua tertakluk kepada perjawatan di bawah IHSB. Namun begitu, penyelesaian masalah bayaran invois dan halatuju anak syarikat oleh YAB Menteri Besar akan dapat memberi gambaran kepada status perjawatan kami.

Sepertimana hari ini, status kami tergantung kerana tiada maklumbalas yang spesifik terhadap kelangsungan halatuju syarikat daripada Kerajaan Negeri dan YAB Menteri Besar menerusi KUIN. Dan tunggakkan bayaran menyebabkan kami tidak mendapat hak kami untuk dibayar gaji.

Maka dengan itu kami amat berbesar hati untuk bekerjasama dengan pihak Kerajaan Negeri dan YAB Menteri Besar untuk menyelesaikan masalah ini dengan kadar yang segera untuk membolehkan masalah pembayaran ini diselesaikan sebelum 30 Ramadhan sempena sambutan Hari Raya.

Penerangan ini tertakluk kepada pemahaman saya melalui rujukan invois dan perjanjian di antara IHSB dan KUIN. Penerangan ini juga tidak berniat untuk menunding jari kepada mana-mana pihak, sebaliknya hanya cuba mencari menyelesaian untuk membolehkan Kolej Universiti INSANIAH terus maju dan berkembang.

Saya terbuka untuk dihubungi oleh sesiapa jua yang prihatin dan ingin turut sama menyelesaikan masalah ini. Saya percaya isu ini mempunyai penyelesaian, dan keterbukaan di antara kedua-dua pihak untuk mengadakan perbincangan adalah amat dialu-alukan.

Sekali lagi saya alu-alukan sesiapa juga dari mana-mana organisasi prihatin, badan-badan kerajaan, individu atau pihak Kerajaan Negeri dan YAB Menteri Besar sendiri untuk menghubungi saya sekiranya memerlukan penjelasan ataupun perbincangan untuk menyelesaikan masalah ini. Saya boleh dihubungi melalui talian telefon 012 424 6269.

Terima kasih di atas keprihatinan anda semua, kami amat menghargai segala usaha anda untuk menyelesaikan masalah ini.

Salam Ramadhan, Salam Syawal yang bakal tiba.

Muhamed Taufik. 10:07 pagi, 28 Ramadhan 1434.

Read more

KUIN vs INSANIAH Holding SDN BHD (UPDATED)


Sempena hiruk pikuk isu permasalahan Kolej Universiti INSANIAH (KUIN), saya sebagai salah seorang kakitangan INSANIAH Holding SDN BHD (IHSB), ingin memberikan keterangan sebagai pencerahan kepada beberapa pihak.

Kenyataan ini dibuat di atas pemerhatian, pengalaman dan perbincangan bersama rakan-rakan lain selama mana saya masih ditakrifkan sebagai salah seorang staff IHSB.

Saya akan hanya menyentuh isu staf dan pengurusan. Buat masa ini saya tidak akan menyentuh pelajar, tidak bermakna isu pelajar tidak berhak mendapat keutamaan, walaupun isteri saya sendiri adalah salah seorang graduan KUIN yang agak kurang bernasib baik. Ini kerana masalah pembayaran gaji ini secara tidak langsung akan turut menyumbang kepada kerumitan masalah pelajar yang lebih teruk sekirannya tidak dibendung.

Selain dari masalah tidak dibayar gaji, kakitangan juga menghadapi masalah status gantung tidak bertali. Kami berdepan dengan situasi yang mudah digambarkan sebagai “Constructive Dismissal”. Di mana majikan gagal membayar gaji dan gagal memberi penjelasan tentang status penjawatan kami. Keadaan ini membawa tekanan kepada kakitangan dan membuatkan ramai yang ingin meletakkan jawatan.

Kegagalan IHSB untuk membayar gaji adalah bertunjangkan kepada aliran tunai yang disekat oleh KUIN. Sebagai anak syarikat kepada KUIN, IHSB menyediakan tenaga pengajar, kemudahan pembelajaran dan pelbagai perkara berkaitan yang sememangnya memerlukan kos dan perbelanjaan.

Atas beberapa sebab yang tidak diperjelaskan, KUIN memutuskan untuk tidak membayar invois kontrak yang telah disempurnakan oleh IHSB, dan perkara ini menyebabkan ramai yang teraniaya dengan masalah gaji tertunggak.

Matlamat asal penubuhan IHSB dan anak syarikat lain adalah supaya memboleh KUIN berdiri dengan kaki sendiri tanpa perlu mengharap bantuan dari Kerajaan Negeri. Berlandaskan halatuju ini, IHSB perlu mencari pendapatan untuk membolehkannya beroperasi dan seterusnya menyokong perbelanjaan kewangan KUIN sendiri.

Anak-anak syarikat KUIN ini turut diberikan suntikan modal oleh untuk membolehkan mereka mula beroperasi. Selain dari menguruskan projek-projek luar, mereka memulakan perniagaan dengan menyempurnakan kontrak menyediakan sumber manusia, sistem teknologi maklumat, reka bentuk dan penyelenggaran untuk KUIN.

Saya tidak menafikan wujudnya hubungan korporat yang amat rapuh di antara KUIN dan anak syarikatnya berdasarkan permasalahan gaji, peruntukan kewangan, urusan tuntutan dan sebagainya yang saya sendiri pernah hadapi.

Saya juga akui, berdasarkan pemerhatian saya yang hina, berlaku permasalahan di dalam pengurusan IHSB dan begitu juga KUIN sendiri. Namun begitu, sebagai sebuah organisasi yang dicipta manusia, adalah mustahil sekiranya sesuatu organisasi itu kebal dari sebarang masalah.

Masalah kelewatan gaji adakalanya berlaku sebelum berlangsungnya PRU 2013 lagi. Tetapi selepas berlangsungnya PRU 2013, ramai kakitangan tidak dibayar gaji untuk bulan Mei 2013. Walaupun sebelumnya sudah terdapat sebahagian kakitangan tidak dibayar gaji pada bulan April 2013.

Sehingga 4 Ogos, kami masih belum mendapat hak kami. Walaupun begitu kami bersyukur kerana YAB Menteri Besar memberi respons yang positif berkenaan isu ini. Untuk pengetahuan semua, selama mana kakitangan tidak dibayar gaji, telah beberapa kali dijalankan usaha untuk menyelesaikan masalah ini.

Kakitangan yang terlibat telah membuat beberapa aduan kepada Pejabat Buruh dan ada dari kalangan kami yang cuba membawa isu ini kepada pengetahuan YAB Menteri Besar, dengan harapan ia akan mendapat perhatian sepatutnya.

Kami sebagai kakitangan syarikat cuba bersikap seberapa neutral mungkin dalam mengharungi masalah ini. Walaupun begitu, saya turut kesal apabila melihat kewujudan pengaruh politik tidak sihat sehingga menyebabkan berlakunya penindasan dan penganiayaan yang tidak sepatutnya berlaku di dalam sebuah organisasi Islam seperti ini.

Ingin saya tegaskan, IHSB sememangnya ditubuhkan dari zaman pemerintahan kerajaan terdahulu, tetapi tidak semestinya kami semua tidak sehaluan dengan kerajaan yang memerintah hari ini. Kami bekerja untuk majikan tanpa perlu mengira apapun pengaruh kepartian yang dibawa oleh majikan terdahulu atau hari ini.

Kami merasa cukup terkilan kerana masalah ini sepatutnya dapat ditangani 2 atau 3 bulan yang lalu. Sekiranya diberikan perhatian yang sebaiknya , hari ini KUIN akan dapat beroperasi dengan lancar pada tahap yang optimum.

Ingin saya jelaskan di sini, sebahagian besar daripada kakitangan yang teraniaya ini bukanlah mereka-mereka yang mempunyai kuasa untuk membuat keputusan penting yang bakal menentukan halatuju syarikat. Sebaliknya, majoriti dari kami adalah diamanahkan dengan tugas-tugas harian separa professional dan sokongan.

Majoriti dari kami ditawarkan kadar emolumen yang rendah berbanding mereka yang berjawatan tinggi. Berdasarkan bidang tugas urus tadbir pejabat, penyelenggaraan, system maklumat dan pendidikan, gaji kami sememangnya tidak tinggi dan kini kami dihimpit masalah kewangan yang memeritkan.

Saya menulis bukan untuk mencari salah sesiapa dan menunding jari kepada mana-mana pihak. Saya menulis bukan untuk mencari simpati segenap mereka yang membaca. Tetapi saya hanya ingin menuntut hak saya. Selama 3 bulan, pelbagai cara sudah kami cuba dan kini Syawal bakal bersidang kurang dari seminggu.

Saya amat berharap YAB Menteri Besar sudi memberikan kerjasama untuk menangani masalah ini. Saya mewakili kakitangan yang lain, ingin menuntut gaji kami tidak dibayar selama 3 bulan dan memberikan penjelasan sewajarnya tentang status perjawatan kami.

Kami akan patuh sekiranya servis kami tidak lagi diperlukan, tetapi kami mohon segala urusan dilakukan menerusi prosedur yang telah ditetapkan oleh undang-undang.

Ulasan saya terhadap kenyataan YAB Menteri Besar yang menyatakan kerajaan negeri tidak mempunyai sebarang kaitan dengan IHSB adalah, dengan rendah diri saya sarankan YAB Menteri Besar datang sendiri bertemu dengan kami dan dapatkan penjelasan dari kedua-dua belah pihak.

Saya juga berharap, kenyataan YAB Menteri Besar tentang warisan masalah atau hutang kerajaan terdahulu agar dikaji semula. Kerana tidak ada istilah cuci tangan untuk mana-mana kerajaan yang siuman di dalam dunia ini. Kerajaan terhasil daripada pemilihan rakyat, dan hak rakyatlah yang perlu dibela oleh kerajaan tanpa perlu mengira apa jenis warisan yang diperturunkan kepada mereka.

Diharap YAB Menteri Besar boleh cuba mendapatkan maklumat dari mereka yang terlibat kerana maklumat dari sumber sekunder mungkin indah khabar dari rupa. Kami tiada apa-apa tujuan untuk menjunjung “political millage” mana-mana parti. Kami hanya mahu hak kami disempurnakan untuk kami menyempurnakan tugas kami di INSANIAH.

Kami tidak hanya menunggu kedatangan YAB Menteri Besar, kami telah beberapa kali cuba menghubungi YAB, namun nasib mungkin tidak menyebelahi kami sebagai rakyat Kedah dan warganegara Malaysia.

Kenyataan ini mungkin atau mungkin tidak mewakili kesemua kakitangan IHSB yang teraniaya. Pelbagai pendapat yang diutarakan di atas dibuat berdasarkan kapasiti persendirian saya. Saya mungkin tersalah maklumat atau tersalah tafsir maklumat. Namun saya terbuka kepada sebarang komen dan pembetulan fakta oleh rakan-rakan yang lain.

Saya tiada identiti untuk disembunyi. Saya berhak dipertanggungjawab di atas kenyataan saya. Saya amat berharap sesiapa jua yang perlukan penjelasan atau perbincangan untuk menyelesaikan masalah ini dapat menghubungi saya. Saya boleh dihubungi melalui laman ini, ataupun melalui nombor telefon saya 012 424 6269.

Saya tegaskan, saya terbuka untuk dihubungi hanya untuk penjelasan dan penyelesaian isu sahaja. Saya tidak tertakluk untuk menjaga kepentingan mana-mana parti. Saya tidak berminat untuk berkerjasama bagi terus menghasut kebencian.

Selamat “menyempurnakan” Ramadhan, Wassalam.

UPDATE


Terdapat sedikit kemusykilan dari rakan-rakan tentang tuntutan bayaran tunggakan gaji daripada kerajaan negeri. Oleh itu saya akan cuba terangkan perkara ini dengan seberapa ringkas yang mungkin. 

Seperti yang saya jelaskan di awal keterangan di atas, punca kegagalan IHSB membayar gaji kami adalah kerana berlaku masalah aliran kewangan. IHSB menyediakan kemudahan pembelajaran dan sumber tenaga manusia untuk membolehkan pelajar-pelajar KUIN mendapat servis dan kemudahan yang mereka bayar. 

Segala apa yang disediakan oleh IHSB untuk pelajar KUIN telah diperincikan di dalam invois bayaran kepada Bendahari. Invois itu telah dipersetujui dibayar oleh KUIN sebagaimana pembayaran yang dibuat sehingga sekurang-kurangnya April lalu. Namun tiada bayaran dibuat untuk invois bulan Mei hingga kini. 

Dengan ini, saya tidak menafikan apa-apa jenis masalah pengurusan dan halatuju syarikat. Tetapi saya menerangkan bagaimana kami dibayar, untuk apa kami dibayar dan siapa yang perlu menjelaskan bayaran. 

Penerangan ringkas:

1. IHSB sediakan servis dan kemudahan kepada pelajar KUIN
2. Pelajar bayar yuran kepada KUIN
3. KUIN akan membayar invois yang tertakluk kepada servis dan kemudian yang disediakan IHSB

Oleh sebab itulah kami sebulat suara, cuba membawa isu ini kepada perhatian YAB Menteri Besar sebagai Pengerusi Ahli Lembaga Pengarah KUIN. Kerana kami percaya YAB Menteri Besar akan menjaga kebajikan pelajar dan kakitangan yang berkhidmat untuk INSANIAH.

Baca selanjutnya Kenapa IHSB buat tuntutan kepada Kerajaan Negeri



Read more

Comments