Showing posts with label Cina. Show all posts
Showing posts with label Cina. Show all posts

Cara-cara Orang Cina Masuk Islam Part 2



Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Jika anda seorang yang berbangsa Cina dan anda merasakan anda memerlukan maklumat tambahan tentang agama Islam tanpa diskriminasi Kemelayuan, anda amat digalakkan untuk mengikut penulisan Cara-Cara Orang Cina Masuk Islam ini.

Tapi sekiranya anda seorang Muslim, mungkin dari bangsa Melayu yang inginkan pendapat alternatif tentang konflik Kemelayuan Islam di Malaysia, anda sememangnya beruntung jika anda berkeputusan untuk teruskan membaca.

Maaf kerana terpaksa memetik bunyi gitar perkauman, harap-harap lantunan nadanya lunak belaka. Ini kerana tuhan ciptakan kita berbeza-beza dari pelbagai puak dan kaum bukan untuk kita saling tikam menikam. Tetapi untuk kita saling mengenali dan berhikmah serta beroleh manfaat daripada perbezaan ini.

Cina dan Kain Pelikat

Orang Cina tak perlu memakai kain pelikat untuk masuk Islam. Ini mungkin kedengaran agak kelakar bagi segelintir individu. Tetapi ini sedikit sebanyak adalah faktor yang mempengaruhi kekeliruan bangsa Cina terhadap pemakaian kain pelikat.

Bangsa Cina yang memeluk Islam tidak perlu memakai kain pelikat untuk bersolat ataupun melakukan apa-apa bentuk aktiviti keagamaan.Kain pelikat atau sarong itu sendiri adalah entiti halus yang menghantui ajaran Islam versi Melayu di Malaysia ini.

Seorang penganut Islam bebas mengenakan apa jenis pakaian sekalipun ketika melakukan aktiviti spiritual mereka, asalkan ianya tidak mempamerkan aurat. Muslim dari kalangan bangsa Cina bebas mengenakan pakaian tradisi mengikut budaya mereka sebagaimana bangsa Melayu memakai Baju Melayu, Kurung dan sebagainya untuk aktiviti yang melibatkan agama Islam.

Majlis Perkahwinan

Majlis perkahwinan Muslim Melayu khususnya di Malaysia ini banyak mempamerkan unsur kebudayaan berbanding unsur keagamaan. Dari segi pemakaian, sambutan, dekorasi dan pengisian majlis itu sendiri.

Masyarakat Cina tidak perlu bimbang untuk mengadakan majlis mengikut tradisi mereka. Mereka bebas untuk menggunakan pakaian, sambutan dan juga jamuan mengikut budaya mereka selagimana ianya tertakhluk di dalam hukum Islam yang indah.

Sesetengah sambutan majlis perkahwinan Melayu sendiri didapati tidak mengikuti garis panduan yang ditetapkan Islam. Agama suci ini tidak sekali-kali mendiskriminasi adat dan budaya mana-mana kaum selagi mana ianya tidak mendatangkan mudharat dan bertentangan dengan hukum.

Respons Pembaca

Ekoran dari beberapa entry tentang Islam dan Masyarakat Cina di Malaysia. Saya telah mendapat beberapa email bertanyakan tentang maklumat yang lebih lanjut mengenai agama ini. Saya amat menghargai usaha anda untuk menghubungi saya.

Saya berjanji akan sedaya upaya membantu anda, bukan hanya bersebabkan saya mahu anda “revert” kepada Islam, tetapi untuk berkongsikan keindahan agama ini bersama anda.

Sekali lagi, ingin saya tawarkan diri untuk sebarang bantuan atau kemusykilan tentang Islam dan Melayu. Sila hubungi saya di sini.
Read more

Cara-cara Orang Cina nak masuk Islam (Part 1)

Gambar Hiasan
Prosedur untuk masuk Islam

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh 
Secara ringkas, berikut adalah prosedur mudah untuk memeluk Islam secara rasmi:

  • Hadir ke Masjid, Pejabat Agama atau mana-mana badan/organisasi punyai kapasiti untuk mendaftar Saudara baru.
  • Bawa bersama salinan Mykad dan gambar passport.
  • Penerimaan kad Akuan Masuk Islam
  • Sesetengah organisasi mungkin menggalakkan/menyediakan kursus bimbingan untuk Saudara Baru.
Ini adalah antara prosedur memeluk Islam secara rasmi. Sebenarnya untuk memeluk Islam, memadai dengan mengucap dua kalimah syahadah serta memahaminya. Dan diikuti dengan amalan sebagai seorang Muslim yang berpegang kepada rukun Iman dan rukun Islam.

Kenapa Cina?

Sejak penulisan entry tentang Cina masuk melayu dulu, aku dapati banyak keyword yang menarik singgah masuk ke blog ini. Antaranya Cina masuk Islam, Cina pakai kain pelikat, Cina kahwin melayu dan yang paling sentap adalah keyword “Cara Cina Masuk Islam”.

Lebih kesal, apabila search keyword itu, tiada satu pun page yang dapat memberikan maklumat tepat seperti yang dihajati. Cuba bayangkan betapa sayunya hati seorang insan yang ingin mencari maklumat itu (mungkin dia dari kalangan Bangsa Cina).

Oleh itu aku mengambil inisiatif untuk mewujudkan satu entry, yang aku harap akan mendapat hits di kalangan Bangsa Cina yang ingin mempelajari tentang Islam di Malaysia khususnya. Bukan hanya entry bahkan aku akan cuba hidupkan satu niche di internet tentang Islam dan Cina di Malaysia agar lebih banyak lagi dapat beroleh manfaat.

Mungkin ramai akan beranggapan sedikit rasist apabila mengketengahkan bangsa Cina di sini. Sebenarnya memang sengaja dihighlight bangsa Cina. Bukan bermakna ingin meng-anak-tiri-kan bangsa lain seperti India, Siam, Singh, Yahudi dan lain lain. Tetapi penulisan ini memang dikhaskan untuk bangsa Cina. Bangsa lain InsyaAllah akan menyusul di kemudian hari.

Jangan risau, Islam itu universal, cuma ingin dispesifikkan penerangan kepada Bangsa Cina yang merupakan bangsa kedua paling ramai di Malaysia.

Kenapa perlunya memeluk Islam secara Rasmi? 

Memeluk Islam secara rasmi memudahkan urusan yang berkaitan agama di masa hadapan. Contoh paling dekat adalah zakat kepada golongan yang baru memeluk Islam. Ini kerana institusi zakat memerlukan seseorang itu menyediakan dokumen perakuan Muslim untuk menerima zakat. 

Begitu juga dengan urusan nikah, cerai, rujuk, kematian, anak-anak dan lain-lain lagi. Sekiranya seseorang itu tidak dapat diperakukan sebagai Muslim secara rasmi, ini akan merumitkan urusan-urusan yang berkaitan.

Apa perlu masyarakat Cina buat sebelum masuk Islam?

Persediaan mental dan fizikal untuk komited terhadap agama Islam. Terdapat keperluan untuk memberitahu ahli keluarga terutamanya ibubapa tentang pengislaman. Seeloknya terangkan sebab musabab mengikut logik akal dan bukan berat sebelah pada Islam.

Ini kerana mereka (bukan Islam) mungkin masih terkeliru dengan agama ini. Andai kata pengislaman ini mendapat tentangan, diharap dapat bertenang dengan ahli keluarga. Buktikan bahawa tidak menjadi masalah untuk berkeluarga dengan mereka yang bukan Muslim.

Lama-kelamaan mereka akan menerimanya, InsyaAllah.

Khatan dan Saudara Baru

Ramai yang sedia maklum perkahwinan menjadi salah satu punca utama Bangsa Cina memeluk agama Islam di Malaysia. Berkhatan kedengaran seperti satu jenis phobia yang menghantui golongan yang berpotensi memeluk agama ini.

Namun hari ini ramai yang sudah mengetahui kelebihan berkhatan. Dan mereka mula melakukannya tanpa mengira bangsa dan agama. Kerana sudah timbul pendedahan dan pemahaman yang tepat tentang berkhatan.

Khatan sememangnya mustahil untuk dijadikan sebagai salah satu alasan. Ini kerana hukum khatan di dalam Islam, mengikut beberapa pandangan Ulama adalah tidak wajib, ianya sunnah yang amat digalakkan.

Maka tidak menjadi satu halangan bagi bangsa Cina untuk memeluk Islam. Mereka boleh berkhatan apabila mereka sudah sedia.

Apa yang ditakutkan masyarakat Cina

Jelas di sini ajaran Islam sebenarnya tidak menjadi halangan besar untuk bangsa Cina memeluk Islam. Yang menjadi halangan utama adalah “Kemelayuan”.

Masyarakat Cina amat menitik-beratkan kebudayaan dan adat mereka. Jelas sekali mereka terkeliru kerana bangsa Melayu telah menerapkan ke-Melayu-an mereka ke dalam agama. Sehinggakan masyarakat Cina merasakan ke-Cina-an mereka terancam.

Ada yang merasakan mereka akan dipulaukan sekiranya memeluk Islam kerana masih ramai sanak saudara dan rakan-rakan mereka terkeliru antara Islam dan Melayu.

Masyarakat Melayu secara separa sedar telah menimbulkan “the sense of belonging” terhadap Islam sebagai hak Melayu. Islam Melayu inilah yang menyukarkan penembusan potensi memeluk Islam kepada masyarakat Cina.

Tindakkan mereka mengadun budaya dan adat ke dalam ajaran Islam adalah tidak salah, bahkan Melayu itu sendiri banyak terpengaruh dengan masyarakat Arab, adakalanya terlebih-lebih dari Pak Arab sendiri!

Contoh yang sememangnya popular adalah baju melayu untuk ke masjid, ketupat dan rendang di hari raya dan lain lain lagi.

Post ini akan sentiasa diupdate dengan link-link siri penulisan Cara-cara Orang Cina nak masuk Islam di masa hadapan. Sememangnya memeluk Islam langkah awal untuk mencapai kesejahteraan hidup. InsyaAllah banyak lagi isu dan penerangan serta Q&A akan diterbitkan di masa akan datang.

Sebenarnya aku masih terkilan, kerana aku tak mampu menulis dalam bahasa yang memudahkan masyarakat Cina faham inti pati yang ingin aku jelaskan.

Sekiranya anda seorang yang berbangsa Cina dan ingin penerangan yang lebih mudah dan mesra tentang Islam, mungkin bersama seorang yang sama bangsa dengan anda, sila hubungi saya. Atau anda boleh berinteraksi dalam group facebook Malaysian Chinese Muslim Association (MACMA).
Read more

Comments