Showing posts with label Ceritera. Show all posts
Showing posts with label Ceritera. Show all posts

Haram Senyum Ketika Berdakwah


Ini cerita tentang kampus. Spesifikkan lagi skopnya; dakwah di kampus. Ceritera tentang adik-adik junior yang ‘fresh-fresh’ belaka. Selalunya kalau ‘fresh’, otak pun sudah tentu suci. Suci dalam erti kata, belum dipengaruhi mana-mana anasir; positif mahupun negatif. Selalunya lagi, kalau cerita tentang adik junior, tak lengkap jika tidak disempurnakan dengan kehadiran kakak dan abang senior.

Kita selalu dengar ramai jemaah sibuk dengan aktiviti dakwah. Di masjid taman-taman perumahan mahupun kampung, setiap minggu pasti ada ceramah agama. Paling-paling tidak pun khutbah Jumaat. Di kampus universiti, kakak abang senior – yang disifatkan adik-adik junior suci sebagai orang alim bertudung labuh serta berkopiah – giat menjalankan aktiviti dakwah menerusi perjumpaan berkala yang dipanggil usrah. Tarik adik-adik junior menyertai kumpulan-kumpulan usrah. Suka atau tidak. Paksa atau rela. Mandatori. Wajib ikut!

Kadang-kadang adik junior itu tidak pernah langsung kenal apa itu usrah. Lebih-lebih lagi yang datang dari sekolah menengah biasa. Ikut usrah pun sekadar ikut, kakak alim bertudung labuh yang tarik. Lebih malang lagi jika hadir usrah sekali dua, kali ketiga terasa hambarnya. Kali keempat mula cipta alasan. Kali kelima, keenam selamat jalan.
Sampaikan kadang kala golongan kakak tudung labuh dan abang berkopiah, dipandang alergik oleh golongan adik-adik junior. Selangkah adik-adik junior cuba didekati, beribu langkah jaraknya mereka menjauhkan diri.

Kenapa begitu?

Koreksi Diri

Jangan!

Jangan sesekali salahkan adik-adik junior yang tidak bersalah itu. Mereka terlalu suci dan polos untuk dipersalahkan kerana tidak mengikut budaya usrah yang secara tiba-tiba hadir tak diundang dalam hidup mereka.

Jadi? Takkan nak biarkan mereka berlalu begitu saja sedangkan kakak abang senior itu terus dengan zon selesa berusrah dengan adik-adik junior yang patuh lagi menurut kata? Takkan nak ajak orang sama-sama dapat pahala pun kena pilih kasih?

Ya! Sebelum menuding jari salahkan orang lain, intai silap sendiri, cuba koreksi diri. Satu jari telunjuk diunjuk kepada dia, dia dan dia, empat jari lagi mengarah kepada kamu! Ya, kamu sendiri!

Jangan bimbang wahai kakak abang senior, belum terlambat lagi untuk berubah. Fitrah insan pasti tak lari dari khilaf. Perlu diingat, kakak tudung labuh dan abang berkopiah serta ustaz ustazah bukan malaikat yang suci dari dosa. Masing-masing perlu muhasabah.
Kadang-kadang, mungkin mental kakak abang senior yang sudah sedia berat dengan assignment  dan komitmen persatuan ‘ditambahberatkan’ lagi dengan ungkapan seperti, “Dakwah itu bukan mudah, Jalan dakwah itu penuh ranjau, onak dan liku…”. Ya, memang tidak dinafikan gerak kerja dakwah bukan mudah untuk dilaksanakan. Tapi jangan sampai kita yang tambah menyulitkannya. Hanya kerana kita lupa satu perkara mudah.

Apakah?



Senyum!

Sabda Rasulullah s.a.w. : “Janganlah kamu meremehkan kebaikan apa pun, walaupun sekadar bertemu saudaramu dengan wajah yang manis.” – [Hadis Riwayat Muslim].
Oh, ya. Mungkin kakak abang pemimpin usrah hanya tahu baca hadis, tapi LUPA nak hayati. LUPA – caps lock – menunjukkan mereka tak sengaja, jadi adik-adik tolonglah maafkan mereka ya.

Macam manalah adik-adik junior (yang keras hati) nak lekat dengan kakak abang senior yang setiap kali perjumpaan usrah [baca : menyampaikan syllabus usrah], buat muka serius ketat macam hakim jatuhkan hukuman gantung sampai mati mandatori? Macam manalah adik-adik junior nak sayang kakak abang senior kalau jumpa di tengah jalan, kakak abang senior buat tak pandang, SENYUM pun tidak apa lagi ucap salam?

Eh, ini bukan isu – “Kau junior aku senior, so kau kena hormat lebih kat aku.”

Mulakan dengan diri sendiri. Jangan harap orang lain mulakan, kalau kita sendiri masih sombong untuk senyum.

Senyum itu menyenangkan. Senyum itu menenangkan. Umum tahu - senyum itu sedekah, kerana Allah tahu, tak semua hambanya bernasib baik mampu keluarkan harta waima satu sen untuk bersedekah. Kerana itu Allah mengganjari pahala sedekah buat seringan-ringan perbuatan – senyum. Siapa tahu, hanya dengan senyuman yang lahir dari hati yang luhur mampu menjadi awal dakwah untuk memikat hati adik-adik atau sesiapa sahaja untuk menerima dakwah anda.

Menjinakkan hati sebelum memperkenalkan

Antara kaedah sebagaimana yang dijelaskan di dalam 10 kaedah dakwah Syeikh Jum’ah Amin; at-ta’lif [‘ = hamzah] qobla ta’rif [‘ = ain].

Menjinakkan hati sebelum memperkenalkan mereka kepada dakwah. Tackle perhatian mereka sebelum mengajak mereka ke peringkat seterusnya.

Harus diketahui, diciptakan manusia ini dengan lebih dari 1001 jenis perangai. Variasi inilah yang menjadikan dakwah tidak hanya statik kepada satu cara, malah dakwah memerlukan kekreatifan sesuai dengan tempat, masa dan suasana masyarakat. Dakwah yang terbaik adalah dakwah yang tidak membebankan masyarakat, malah lebih memudahkan dan menyenangkan masyarakat untuk menerima tanpa melangkaui batas agama.

Oh ya. Tidak perlu menjadi seorang ustaz ustazah untuk berdakwah. Sesiapa sahaja – selagi anda seorang Muslim dan sedar akan tanggungjawab itu – maka jalankanlah sedaya mana yang termampu mengikut kekreatifan sendiri selagi ia tidak bertentangan dengan syariat.

Dakwah bukan untuk menyusahkan. Dakwah juga bukan untuk menghukum.
Jika tidak, mungkin sudah lama Nabi junjungan kita mendoakan kecelakaan kepada penduduk Thaif yang menzalimi baginda ketikamana baginda menyeru mereka kepada Islam. Jika tidak, mungkin sudah lama Baginda s.a.w. membunuh Umar r.a. yang kuat menentang perjuangan baginda sebelum keIslamannya.

Api takkan terpadam dengan menjirus petrol RON-95. Air yang menitik di atas batu yang keras, lama-lama akan melekuk juga. Ada 1001 macam cara untuk berdakwah. Bukan dengan kekerasan. Bukan dengan muka yang serius.

Di akhirnya, praktik dan laksanakan. Bicara tanpa amal laksana pohon yang rendang tanpa rambutan yang merah.

Oh ya, kakak abang usrah, sahabat-sahabat yang giat berdakwah. Teruskan dakwah anda. Moga Allah rahmati dan kuatkan langkah murni anda.

Tapi, jangan kedekut sedekah senyum!




Read more

Kisah Upin, Seorang bayi buangan



Namaku Upin.

Aku seorang bayi lelaki. Aku baru lahir dari rahim ibuku yang amat aku sayangi. Aku sahut terjahan dunia dengan tangisan. Begitu juga ibuku, dan mungkin ayahku.

Gambar Hiasan
Namun agak ralat bagiku, tangisan ibuku lain benar sayunya. Aku percaya yakin dan pasti, ibu sayangkan aku. Kerana itulah aku redha menggigil kesejukan menunggu ibu kembali mengambilku.

Aku imbau air mata sayu ibuku. Dia berpesan lembut padaku. "Maafkan ibu, nak". Tumpah berjurai cairan dari mata ibu yang aku cintai.

Oh ibu. Tiada salahnya dirimu. Aku zuriatmu. Walaupun tidak ku tahu siapa bapaku.

Andai aku bersalah padamu ibu, maafkan lah aku. Aku sahut tangis mu dengan tangis ku bukan bermakna aku sedih. Aku mahu pujuk ibuku ini agar maafkan aku. Jangan tinggalkan aku.

Aku terus bermain pujangga minda sambil menanti hiba kedatangan kembali ibuku.

Kasihan ibu. Menahan derita melahirkan seorang bayi seperti aku. Terselerak riak wajah ibu, menahan sakit rentapanku dari rahimnya.

Malam mula berturap bayu embun sesejuk salju. Namun ibu belum kunjung tiba mendapatkan ku.

Oh ibu, kini bulan menjadi temanku. Terukir senyumannya walau jauh beribu batu. Ku harap ibu jangan menangis selalu. Contohi bulan ini, tak jemu menjambak bunga di wajahku.

Aku lihat satu makhluk. Halus bentuknya. Punya sayap tidak berwarna. Terbang melayang di kanan dan kiriku. Bukan satu tapi banyak benar bilangnya. Mungkin dia simpati denganku. Marilah berkawan denganku. Terhibur seketika dengan dengungan kawan-kawan baru ku ini.

Pedih. Kenapa kamu sakitiku. Bukankah kamu kawan-kawanku? Jangan kamu ulangi gigitan itu. Aku hanya ingin bermain. Bukan mahu bermusuhan denganmu.

Oh ibu, di mana kamu? Kawan-kawanku tidak henti-henti menyengat kulit gebuku. Air mataku berderu. Sedalam hati aku menjerit di mana kamu wahai ibu!

Sakit ibu. Tolonglah aku. Maafkan aku ibu. Jangan hukum aku. Aku berjanji akan jadi anak yang soleh buatmu. Aku berjanji akan sentiasa berdoa kepadamu. Aku bersumpah akan menyayangimu seumur hidupku ibu.

Bertalu-talu tanpa jemu kawan baruku merobek liang romaku. Puas aku kais. Bantulah aku, ibu. Tak mampu ku tahan lagi sakit ini ibu.

Ruas dingin malam mula menyucuk tulang belulangku. Aku lihat rakanku si sayap ini membawa segerombolan sekutu. Dari biasan cahaya rembulan, merah saga susuknya. Kecil amat sifatnya tetapi bertandang dengan rombongan yang berbilang angka.

Tangkas meliar makhluk ini menjalar di tubuhku yang tidak lebih sehasta ini. Bagai jarum, bagai api mereka mengupas luka merah bisa dari aksi si rakan bersayapku tadi.

Raungku menggegar sunyi. Air mata sudah entah berapa baldi. Namun ibu belum pun tiba lagi.

Barangkali ibu dikejauhan. Barangkali ibu sibuk mencari rezeki untuk masa depanku. Oh ibu, mulianya dirimu. Aku sayu mendapat ibu sepertimu.

Terus aku teriak sehabis kudrat. Aku mulai lemah. Dadaku mula lelah. Hatiku masih percayakan ibu akan datang kembali mendapatkan aku. Kerana ibu sayang aku.

Setiap saat berlalu, bagai menanti sepurnama menongkah waktu. Nafasku tersentap-sentap halwa dingin. Nipis benar udara yang masuk ke paru-paruku. Aku gagahkan jua dengusan memanggilmu ibu.

Terbakar rasanya kerongkongku. Mahu sahaja aku teruskan berteriak. Namun tiada suara lagi yang bernada. Hatiku tak henti memanggilmu ibu. Maafkan aku andai aku berdosa padamu. Aku percaya ibu akan tetap sampai mendapatkanku sebentar lagi.

Aku rasakan kaki sudah tidak bergerak walau sekuat daya aku meronta. Dingin sungguh rasanya. Aku lihat sahaja si makhluk merayap mengerumuni badanku. Terasa mereka bergerak hingga ke dalam rongga telinga dan hidungku.

Kian hapus ketipan halus yang memedihkan tadi. Mata yang kering ini meneroka setiap inci tubuh lebam lagi rabak ini. Terasa tenang walau kelihatan kulitku tercabik merata bagai diratah api.

Walau haus, lemah dan longlai, aku tidak jadikannya alasan untuk berhenti memanggil ibuku.

Setelah beberapa ketika, aku rasakan tubuhku membantah untuk terus meronta. Aku tidak kisah. Aku hanya mahu ibuku. Aku tahu ibuku sedang kemari untuk mendapatkan aku.

Aku terbayang nanti setelah ibu mendapatkanku, dia akan mengubati luka-luka ini. Ibu akan membelai kulit halus ini. Ibu tidak akan lupa untuk mengucup dahiku setiap pagi petang dan malam.

Akan aku sahut kedatangan ibu dengan senyum tawa, andai ku mampu. Berat amat kelopak mataku kini. Ku terus memanggilmu ibu walau terpejam gelap dalam dingin sunyi ini.

Tiada lelap, hanya menanti ibu datang menyelamatkan aku. Barangkali ibu terlupa jalan kemari. Ibu perlukan sedikit masa untuk sampai ke sini.

Berselang tautan detik masa, kedengaran tapak kaki berselerakkan. Oh ibu!

Ku teroka sekalian kudrat untuk membuka mataku. Walau tubuhku ingkar untuk bergerak, aku berusaha juga memaling kiri dan kanan mencari kelibat ibu.

Dalam selimut gelita aku melihat, bayang-bayang lembaga berkaki empat. Kepalanya tunduk, telinganya besar amat. Terkejut besar aku melihat, ada ekor pula melambai dari belakang.

Ini bukan ibuku. Apakah ia? Apakah makhluk ini cuba membantuku?

Cuba aku teriak untuk berikan isyarat. Namun ternyata kaku lesu tubuh tidak termampu. Makin dekat ia, kelihatan rancak bertema lidahnya terlejir keluar. Apa maknanya ini alamat?

Rapat mataku tutup. Aku rasakan dihidunya tubuh carik ini.

Aku tertolak, terpelangkup menyembah bumi. Kuat benar riang makhluk ini. Aku dengar dengusan bukan sekali. Langsung disusuli beberapa rangkap tapak kaki.

Lantas tubuhku direntap-rentap. Dihempas-hempas, terguling mengalir darah pekat. Hatiku terdetik, di mana ibu? Jangan biarkan aku begini ibu.

Tercengang urat nadiku berantakan dek tusukan taring makhluk itu. Dikais-kais cebisan kulitku dengan lahapnya. Tanpa gusar, makhluk itu memburaikan isi perutku. Lalu terhampar susur galur saluran pintal penghadamanku.

Tiada lagi air mata mengalir selain cecair hangat rona merah gelap. Aneh, beransur teduh hati ini mengingati ibu. Walaupun dia tiada kemari mendapatkan aku dikala ini. Aku tetap cinta ibuku.

Serentak tiba-tiba, aku berasa lega! Aku berasa sihat penuh kudrat.

Aku dongak lihat dari kejauhan, makhluk berkaki empat. Dimulutnya tergonggong perca tubuh kecil terlipat-lipat. Itu jasadku.

Susuk tubuh terkulai yang hampir tidak cukup sifat. Jejari halus mulus itu aku dapati kurang dari jumlahnya yang lima. Kejang terkujur dirobek rakus. Terlintang leher dengan cekaman, terlopong soket mata itu tanpa bolanya.

Aku redha ibu. Aku maafkan ibu. Aku sayang ibu. Aku cinta ibuku. Maafkan aku ibu andai aku berdosa kepadamu. Maafkan aku andai aku melukakan hatimu. Jika kedatanganku ke dunia ini bakal membawa binasa padamu ibu, aku relakan pergi.

Ibu tidak bersalah. Tidak sekali-kali bersalah. Jika ini takdirku, tiada apa aku usulkan selain redhaku. Wahai Tuhanku, sesungguhnya ibuku tidak bersalah. Dia amat menyayangiku. Dia mencintaiku. Aku tahu.

Ibu, kamu tak bersalah. Aku tahu.
Aku sayang ibuku. Moga Tuhan beri ketabahan padamu.
Namun berjanjilah padaku ibu, jangan kamu sekali-kali ulangi tindakan ini.
Berjanjilah untuk mendidik anak-anakmu yang lain menjauhi kehinaan ini.

Tapi mengapa ibu tinggalkanku? Mengapa ibu biarkan aku begini?

Adakah sebabnya ibu malu aku tidak punyai bapa yang sah?
Ataupun ibu dirasuk pemikiran masyarakat kuno yang hanya tahu menghukum?
Apakah aku ini terlalu hina untuk diterima oleh tamadun manusia yang beragama?
Adakah aku hanya layak dijadikan cemuhan komuniti berserban berjubah yang berpegang seruan Lillahi Taala?
Apakah ibuku tidak diberi bantuan untuk menjagaku seadanya?
Ke mana perginya keluarga tersayang ibuku dalam menghadapi kelahiranku?
Adakah dunia tidak mampu melihat insan sepertiku hidup normal seperti mereka?
Apakah ibu dicaci maki hanya kerana mengandungkan aku?
Kenapa ibuku perlu dihukum sedemikian rupa?
Mana perginya akhlak kemanusiaan sejagat kini?
Apakah kunci pintu taubat itu dipunyai manusia tidak berhati perut ini?
Aku tidak akan lahir tanpa bapa jika dakwah Tuhan yang Esa diagungkan ke serata dunia

Setiap dari kami yang terkorban, darah merah ini akan terpalit ke setiap muka kalian. Jangan berani sembunyi tangan.

Sekian dari bayi yang tidak berkesempatan diberikan nama, Upin hanya sekadar metafora.

Gambar Hiasan

Alhamdulillah akhirnya siap juga tulisan ini. Harap anda beroleh manfaat membacanya


Read more

Iblis takutkan air?

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Selamat Hari Raya

Aku pasti ramai yang pernah membaca satu ceritera hikayat tentang asal usul kucing, tikus dan babi. Terus terang aku tidak pasti akan kebenaran cerita itu.

Kisahnya berkisar di zaman Nabi Nuh yang menerangkan bahawa baginda membina kapal untuk menyelamatkan pengikut-pengikutnya serta haiwan daripada ditenggelami banjir.


Sila teruskan membaca tulisan penuh cerita tersebut di bawah:

Kucing dan tikus merupakan dua ekor binatang yang saling berkaitan. Dalam erti kata lain, tikus lawannya kucing. Sejarah kejadian kucing dan tikus ini merupakan kekuasaan Allah Azzawajalla yang perlu diambil iktibar.

Kita selalu memuji kucing dengan rupa bentuk yang comel serta kecantikan yang dijadikan Allah Azzawajalla terhadap kucing tanpa kita sedar bahawa setiap kejadian Tuhan itu ada hikmah dan pengajaran yang amat besar.

KEJADIAN KUCING DAN TIKUS

Riwayat mengatakan bahawa ketika Allah Azzawajalla hendak menurunkan azab kepada kaum Nabi Nuh a.s. yang ingkar, maka Allah Azzawajalla memerintahkan agar Nabi Nuh a.s membina kapal besar bagi mengangkut pengikut-pengikutnya serta menyelamatkan haiwan-haiwan sebelum azab diturunkan. Maka Allah Azzawajalla memerintahkan agar dibawa setiap haiwan itu berpasang-pasangan. Iblis laknatullah turut menyertai Nabi Nuh a.s bagi menyelamatkan dirinya.

Maka setelah azab diturunkan, banjir besar berlaku, maka berlayarlah kapal Nabi Nuh a.s mengelilingi dunia. Maka sepanjang pelayaran itu, terjadilah beberapa permasalahan dan keajaiban.

MASALAH 1:

Nabi Nuh a.s gusar kerana najis haiwan dan manusia memenuhi kapal sehingga menyebabkan timbul rasa yang kurang senang kepada pengikut-pengikutnya. Maka Nabi Nuh a.s berdoa dan memohon kepada Allah Azzawajalla.

"Wahai Tuhanku, kapalku telah penuh dengan najis, maka berilah petunjuk agar dapat aku menyelesaikan masalah ini"

Maka Allah Azzawajalla berfirman:
"Wahai Nuh, belailah gajah itu, nescaya keluar darinya haiwan yang akan membersihkan najis-najis ini"

Maka setelah dibelai, keluarlah babi-babi dari gajah berpusu-pusu dan segera membersihkan semua najis-najis sehingga bersih tanpa tersisa sedikitpun.

Kejadian Tikus

Si Iblis pula cemburu dengan mukjizat Nabi Nuh a.s maka dia pun turut mencuba membelai gajah. Dengan takdir Allah Azzawajallah keluar darinya tikus yang banyak lalu merosakkan kapal Nabi Nuh a.s.


Tikus

MASALAH 2

Tikus yang banyak itu pun merosakkan kapal sehingga dikhuatiri akan tenggelam kapal Nabi Nuh a.s. Nabi Nuh a.s berdoa dan meminta kepada Allah Azzawajalla bagi menyelesaikan masalah ini:
"Wahai Allah, kapalku telah dirosakkan oleh tikus, aku takut seandainya karam kapalku, maka berilah petunjuk kepada ku agar dapat aku selesaikan masalah ini"

Kejadian Kucing

Maka Allah Azzawajalla berfirman:
"Wahai Nuh, belailah harimau itu, maka akan keluar darinya haiwan yang akan memusnahkan tikus-tikus itu"


Kucing

Maka setelah dibelai oleh Nabi Nuh a.s maka keluarlah dari harimau itu kucing-kucing dan memakan tikus-tikustersebut sehingga licin dan tidak tersisa sedikitpun.

Setelah meneliti beberapa versi cerita ini, aku dapati tertulis satu perihal tentang Iblis.

Iaitu Iblis turut sama menyelamatkan diri dengan bahtera Nabi Nuh. Maaf jika aku ini jahil bab Iblis dan Syaitan. Kerana sebelum ini belum pernah aku dengar rahsia Iblis yang satu ini.

Apakah benar Iblis akan binasa oleh air? Kerana ianya dicipta dari api?
Persoalan mutlaknya apakah Iblis tidak wujud di dalam lautan?
Bagaimana kita dapat mengambil manfaat dari perihal ini?
Mohon penjelasan para ilmuan.

Cerita ini sememangnya tersebar luas di dunia maya. Anda boleh search keyword berkaitan untuk melihat ratusan capaian lain yang turut sama menyebarkan kisah ini.

Read more

Suasana beraya Aidil Fitri di Israel tahun ini (בישראל שנה)

אל תלך שולל על ידי כניסת הכותרת המתאר משמח כמוני בחזרה בעיר הולדתו של ישראל. פשוט רוצה לשתף את האווירה החגיגית בקבלת הפנים על ידי חלק מהמוסלמים שחיים בארץ ישראל בלבד.

Jangan tertipu dengan tajuk entry yang menggambarkan macam aku balik beraya di kampung halaman Israel. Cuma sekadar ingin berkongsi suasana perayaan yang di sambut oleh segelintir Muslim yang menetap di tanah Israel sahaja.

Sekali pandang, aku tertanya "Depa ni macam tak beraya pon". Sudah tentulah gambaran raya aku penuh dengan limpahan ketupat rendang lemang samperit dan tat nenas XXL. Sambutan warga Israel jauh sekali berbeza dengan kita. Kerana di luar sana, sambutan Aidil Adha adalah lebih meriah dari Aidil Fitri.

Aidil Fitri adalah antara perayaan yang agak moden kerana asal usulnya hanya kurang dari dua ribu tahun dahulu. Sedangkan Aidil Adha dirayakan bersandarkan simbolik korban Nabi Ibrahim beberapa ribu tahun dahulu.









Personally, setiap kali datang hari raya aku forecast akan berlaku ujian yang besar bagi aku. Tahun-tahun lepas aku diuji dengan pemergian bapa, krisis kewangan, krisis pasangan (zaman jahiliah). Tahun ini aku masih menunggu apa pula adegan yang akan kunjung tiba. Tahun ini mungkin krisis penjodohan kendiri (desperate pulak bunyinya).

Sekian sahaja bebelan bosan di opis yang sunyi di hari raya ke empat ini.
Read more

Orangnya pakai Serban, tapi Drive kereta macam Syaitan!

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam Selami Diri

Adapun si syaitan itu mungkin tidak pernah memandu kereta, mahupun lulus ujian mengambil lesen memandu. Namun, itu tidak memberi jaminan bahawa umat manusia sejagat terpelihara dari gejala pemanduan persis iblis?

Kalau syaitan guna kereta?
Gejala pemanduan iblis kini makin menjadi-jadi di bulan Ramadhan. Kita boleh lihat menjelang petang, jalan raya mula sesak dengan jutaan kenderaan dua, tiga, empat mahupun sepuluh roda. Di saat ini jugalah semangat ke-syaitan-an yang membuak-buak dapat kita hayati dengan lebih jelas.

Pada awalnya, aku berniat untuk menulis tentang pemanduan yang tidak Islamik. Tetapi aku sudah boleh jangkakan bahawa ketua-ketua syaitan telahpun mengarahkan para bala tenteranya menghasut umat manusia (muslim khususnya) untuk tidak mengambil peduli asas tatacara keberadaban Islami ini.

Gejala pemanduan tidak Islamik ini dapat dibezakan dengan konsep pemanduan disaat kecemasan. Contohnya ketika darurat, peperangan, bini nak bersalin, kematian & jihad Islam mungkin?

Pemanduan tidak Islamik dapat dikaitkan dengan ciri-ciri berikut:

1. Menyusahkan/menzalimi hak pengguna jalanraya yang lain.
2. Mengancam nyawa dan kesejahteraan pengguna lain.
3. Pemanduan yang melalaikan tanggungjawab Islam.
4. Pemanduan sambil beromen/berkhalwat.
5. Pemanduan yang bertujuan jahat/membawa kemudharatan.
6. Pemanduan yang memutasikan kesejahteraan keluarga.

Termasuk juga pelbagai lagi unsur-unsur yang tidak Islamik yang menyelit masuk dalam pemanduan kita.

Penyalahgunaan ini tidak tertakluk hanya kepada pengguna kereta sahaja. Ia juga meliputi pengguna motorsikal, SUV, MPV, lori, van, trailer panjang, dan basikal?



Contoh situasi pemanduan yang menghangatkan hati:

  • Seorang Tok Guru agama dengan serban putih di kepala memandu dengan kelajuan yang amat lembap dan berada di sebelah kanan jalan tanpa sebab-sebab munasabah yang boleh melunturkan iman dan taqwa beliau. Tindakan ini mengundang kepada ganguan dan kejahanaman hak pengguna jalanraya yang lain. Mungkin beliau sedang khusyuk bertasbih bertahmid memuji keindahan alam sambil disahut carutan caci maki saudara se-muslimnya yang mengekor di belakang.

  • Seorang suami mithali memandu Myvi SE persis Bumble Bee (Chevy Camaro Transformers) dengan kelajuan yang menggegarkan otak anak-anaknya yang berada di tempat duduk belakang. Tahap kelajuan ini juga boleh membuatkan bini beliau yg berada disebelah, tidak henti-henti mencarut kepadanya pada kadar 256 patah perkataan seminit. Selain itu kelajuan tinggi ini juga berpontensi tinggi untuk memecahkan kepala dan memburaikan isi perut mereka anak beranak sekiranya berlaku impact head-on collision (seperti yang selalu didoakan oleh pengguna jalanraya yang lain ketika melihat kepelisetan pacuan Myvi SE ini)

  • Seorang pemuda di bawah pengaruh Need For Speed: Satanic Revenge sedang memacu Honda Civic pekak beliau dengan penuh keterampilan. Pemanduan beliau yang semestinya melebihi 180km/h dan ditambah dengan skill membelok & menyelit yang amat merbahaya ini akan mengundang kecelakaan bukan hanya pada beliau, bahkan kepada pengguna jalanraya yang lain.

  • Contoh lain berupa penginkaran peraturan jalanraya juga boleh diklasifikan sebulu dengan kes ini. Ia termasuklah kebutaan mengharungi lampu isyarat merah, kebebalan memotong dilorong kecemasan, kepondanan dalam memotong barisan, kedunguan meletak parkir dan lain-lain yang sewaktu dengannya.


  • Sejujurnya, terdapat banyak lagi contoh pemanduan di bawah pengaruh iblis ini. Tidak dinafikan kita sendiri juga telah beberapa kali terjebak dek kenipisan iman yang tak dapat diwarisi ini. Kesalahan yang kadang kala diperlakukan pada kadar yang tidak sengaja ini dapat diusulkan pengampunan.

    Aku sendiri mengaku penah terjebak dalam gejala ini dan sesekali juga mendoakan kecelakaan syaitan jalanan ini memperlihatkan kesyahduan perilaku mereka di pentas jalanraya.

    Sempena bulan Ramadhan yang mulia, marilah kita bersama-sama berjihad menentang kerakusan nafsu yang disalurkan kepada kuasa tujahan kenderaan masing-masing. Marilah kita hindari gejala kesyaitanan yang makin berleluasa ini.
    Ramai yang berdoa ketika memulakan perjalanan, tapi berapa ramai yang menghayati dan mengamalkan intipati doa itu?

    “Kalau yang accident mati tu orang lain tak apa,
    Tapi kalau yang mati tu ibu, ayah, isteri, laki, anak sendiri baru hang berakai”


    Read more

    Arah Qiblat di Bulan dan Angkasaraya?

    Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam Selami Diri Berapi-api

    Siapa Neil Armstrong? Sudah-sudah lah dengan konspirasi Masonic yang menjadi kata nama am dalam pertikaian pendaratan manusia ke Bulan. Begitu juga dengan segala tiupan khabar angin tentang Neil Armstrong dan Islam.


    Reaksi yang kita akan lihat adalah ramai insan lebih sibuk menggembala batu api menerajang ke sana ke mari nak tegakkan premis sendiri dalam isu ini.

    Tetapi tahukah kamu di mana arah Qiblat kita (muslim) sekirannya berada di Bulan? Aku percaya ramai yang meremeh-temehkan perkara ini. Kerana mereka masih terdoktrin dengan keberadaan di Planet Bumi ini.

    Ajaran Islam sedang berkembang pesat seiring dengan pembangunan dunia Sains. Aku tidak menolak kemungkinan kita akan menetap di bulan. Mungkin bukan aku dan kamu, tetapi mungkin cicit kamu dan aku.

    Sejujurnya sebelum aku meng-google jawapan ini, aku sangkakan para ulama akan berusaha mencari titik Kaabah di bulan. Namun jauh sekali, aku jahil amat. Berdasarkan link ini, terdapat perbincangan mengatakan arah Qiblat di Bulan dan di angkasa adalah Bumi itu sendiri.

    Semestinya jawapan ini adalah jawapan popular dan menggambarkan bahawa Islam memberi kemudahan kepada penganutnya. Alhamdulillah.

    Aku bukanlah ustaz mahupun bekas mufti seperti Ustaz Asri. Sekadar pencacai hati perut sendiri. Namun aku terfikir, dunia ini amatlah luas. Tamadun manusia makin berkembang dengan kepesatan yang tinggi. Ramai yang memberi janji dan pandangan bahawa kita akan meneroka dan menetap di planet lain dan angkasa.

    Sempatkah ini semua berlaku sebelum kiamat?

    tags: bulan bintang matahari kiblat qiblat muslim islam neil armstrong masonic JAXA space travel exploration dr asri mufti planet sun earth moon bumi bulan pas bulan umno kiblat pas kiblat umno google moon landing apolo moon walker space shuttle nasa
    Read more

    Kisah Rakyat, Pemimpin, Iblis dan Babi

    Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam Selami Diri

    Kami perlukan pertolongan!


    Tahukah kamu bahawa pemimpin politik Malaysia masakini telah dirasuk iblis?

    Sejujurnya, mereka ini bukanlah penipu, tetapi merekalah pembunuh jati diri kami. Apa yang berlaku? Nah lihat sahaja hamburan kata caci maki, tunding jari, adu domba berhamun cerca sana sini yang amat merugikan ini.

    Kenapa merugikan? Dengan seraya kami menjawab, Apa yang untungnya? Itu bukan jawapan. Jika kamu tidak dapat fikirkan apakah untungnya berpolitik beralaskan nada sumbang yang hanya melempar api-api ke arah hati lawanmu, tiada perlunya kami bersusah payah menjawab.

    Ahli politik kini sibuk berantakan gelora publisiti hanya untuk menguja-uja hati si penyokong dengan bahan bakar untuk benci-membenci. Masuk keluar dewan bukan mencari solusi, tapi sibuk menghentam sana sini. Tangkas mereka mengelar-ngelar hati sesama sendiri, sehingga terlupa nasib jutaan pasang mata yang perlukan bantuan, pembelaan, keadilan di tanah air sendiri.

    Kamu zalim, rakyat seluruh negara tercungap-cungap keletihan dipalung kiri kanan atas bawah hanya untuk diperdengarkan oleh cerita hantu merapu. Tiap langkah mereka hunuskan untuk keluar mengundi untuk kamu, penuh bersendikan dengan jerih perih. Tetapi kini kamu tampil menganjing isu demi menghambat musuh dengan berpaksikan keji mengeji.

    Kami lihat kamu tak ubah bagai Iblis mengulit api. Bercogan kata menabur janji seraya tiba PRU, hanya sekadar mengiyakan undi kami. Kami tak pinta politik kebencian ini. Kami tak pinta amalan keji mengeji ini. Kami tak pinta disuap ruji hari ke hari informasi berahi tinja babi ini.

    Habis. Kami dibiarkan terkulai-kulai menelaah siang malam, terkelupur di tengah jalan yang bersimpang siur dengan prosa hamun yang mengajar anak-anak kami mencarut siang, malam dan pagi tanpa henti-henti.

    Mana tidaknya, lihat jua siaraya talian internet yang berbaur rekahan nanah membusuk dengan nista bermuka-muka serta uraian bakteria hasad dengki ini. Mana mungkin kami dapat lupa sumbangan kamu menyental-nyental norma murni kemajmukan kami dengan tusukan berduri yang disahut-sahut paparan cetak, radio dan tv haiwan peliharaan kamu itu.

    Kami diperlaku bagai hamba abdi, bergelandang ke sana ke mari. Kami dibiarkan terbuai ke penjuru-penjuru tajam mencarik isi perut kami. Kami disorong diseret diterajang dihumban oleh agen perajurit kamu yang persis ifrit.

    Sudah sampai di sini sayang. Tidak perlu lanjutkan berperi-peri. Bukan hajat untuk turut sama menyemai caci maki.

    Kami sudah lemas bermandikan darah saudara kami sendiri. Darah dari hati yang dicemari oleh kebobrokan insan yang kami terpaksa mengaku sebagai pemimpin sendiri. Darah yang dikelar dari urat nadi jiwa-jiwa yang lunyai dihentak dirodong oleh keserakahan nafsu api-api. Darah ini, darah kami.

    Tidak ingin kami robek jantung kamu buat sajian dendam kami. Tidak langsung kami mahu siat-siat kulit gebu kamu buat hamparan permaidani kami. Tiada kami berhasrat mahu memburaikan limpa hati kamu untuk dijadikan batu jembala kami. Apatah lagi untuk menghiasi rumah kami dengan tengkorak hitam kamu.

    Kami hanya mahukan perubahan.

    Jangan kamu berani tunding jari tanpa solusi, jangan kamu berani bermaki-maki di depan naskhah bacaan anak-anak kami. Jangan kamu berani menanam periuk api di hati kami dengan janji nista abadi, jangan sekali-kali kamu cuba berzanji laungan maksiat kepada generasi ini.Jangan kamu lupa tanpa kami siapalah kamu sekarang ini.

    Jangan sekali-kali cuba membina jambatan untuk membawa kamu ke neraka bersama-sama kami.

    Andai terpalit pada yang baik pekerti, anggap sahaja itu dosa kami. Sanggup kami terhisab di sana nanti. Hanya demi menenggakkan hak kemaslahatan rakyat yang dizalimi.

    Sekian sahaja tulisan api-api. Salam perubahan kami hulurkan, berjanjilah untuk sama-sama berjabat dengan tangan ini.


    Read more

    Ulasan respons/penerimaan "5 sebab PAS akan Gagal"

    Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam Selami Diri

    Tergerak hatiku ingin memberi sedikit ulasan tentang penerimaan/respons artikel "5 sebab PAS akan Gagal" oleh kerana ianya sedikit tervariasi dari apa yang aku jangkakan.

    PAS dan UMNO makin sama?

    Usul utama artikel itu ditulis adalah untuk meng-highlight ruang-ruang ketersamaan PAS dan UMNO yang akan menjurus kepada kegagalan. Umum mengetahui status UMNO yang dalam keadaan bahaya. Keadaan bahaya ini jugalah sebenarnya berakar daripada 5 asbab yang telah aku bincangkan.

    Umpanku tepat mengena apabila laman yang berperoksikan UMNO menyiarkan dan menyebarkan isu yang aku lampirkan di dalam artikel itu. Harapan halusku adalah untuk melihat dan mengukur sejauh mana mereka mengiyakan asbab-asbab kegagalan PAS yang 5 ini. Kerana ianya adalah seamless dengan asbab kegagalan yang sedang dihadapi oleh parti yang mereka sokong ini.

    Di sebalik beberapa komen ignorant yang diperlihat di laman fanpage dan blog peroksi UMNO, aku percaya terdapat juga warga UMNO yang dapat menilai dengan sewaras-warasnya. Harapan aku kepada mereka ini tak pernah musnah. Kerana mereka ini juga saudara aku, saudara se-Islamku. Atas rasional itulah aku cuba cungkil dasar hati mereka untuk menimbang tara asbab kegagalan sesebuah parti dari satu perspektif alternatif.

    Alternatif ini membawa maksud, selain dari amalan ruji penyokong politik Malaysia ini; caci cerca makian, kita tampilkan kelainan persembahan isu dan fakta. Dengan harapan umpan-umpan ini tepat mengenai sagi-sagi hati mereka yang paling dalam.

    Namun bukanlah niat aku untuk "kalih" mereka overnight kepada PAS, tetapi untuk meningkatkan kematangan berpolitik sesama kita. Jangan sesekali tersilap, bukanlah aku ingin label mereka ini tidak matang dan aku lebih matang, tetapi aku ingin berkongsi perspektif yang berbeza dari yang sediakala.

    Penafsiran istilah matang itu sendiri bersimpul-simpul dengan makna yang amat subjektif untuk dikaitkan dengan situasi politik Malaysia. Premis kematangan yang cuba aku persembahkan adalah "dakwah dalam respons". Satu pendekatan yang amat berbeza yang telah dihadapkan selama ini iaitu dengan memenangi hati musuh daripada hati sendiri. Penafsiran "dakwah dalam respons" ini akan disempurnakan dalam satu penulisan khas di lain hari.



    Adapun terdapat jua lentingan respons daripada penyokong Pan-Malaysian Islamic Party itu sendiri. Timbul satu golongan tipikal yang terus menerus mencerca, menafi, menyerang kembali dan bertali arus membuktikan PAS lebih baik dari UMNO. Tidak kurang juga segelintir yang mendakwa penulis sebagai talibarut UMNO, justeru mengiyakan asbab kegagalan yang aku kupas di dalam artikel tersebut. Namun aku tidak salahkan mereka menzahirkan respons mereka sebegini rupa, kerana aku sendiri menggunakan tajuk yang agak offensive pada hemat mereka.

    Maaf aku pohon kerana terpaksa menggunakan tajuk yang agak misleading untuk menarik hati membara untuk membaca. Golongan tipikal ini merasakan mereka terancam dengan tujahan kata aku yang agak sinis. Dan sesetengah mereka merasakan mereka perlu pertahankan parti PAS mereka ini dengan menyerang kembali. Serangan itu samada dalam bentuk paluan soalan PAS vs UMNO, menunding jari kepada UMNO, mendakwa Anwar Ibrahim sebagai agen parasit, serta menyerang peribadi penulis/penyebar artikel. Ataupun inikah sebabnya artikel ini sukar tersebar dalam media alternatif PAS? Ataupun penyokong PAS sendiri hanya sekadar membaca tajuk dan bukan isinya?

    Syahadan aku menarik nafas lega, kerana di dalam rimbunan golongan tipikal itu timbul juga susuk gagah hati pembaca yang mengerti sedalam-dalamnya sarkasm yang aku cuba sampaikan. Walaupun mereka tidak mengiyakannya secara keseluruhan, tergambar jelas kesedaran mereka akan ketersamaan yang makin rapat antara PAS dan UMNO. Lantas golongan kedua ini mula menongkah kata bertanyakan solusinya. Bagaimana mahu selamatkan PAS? Lebih baik mencegah dari mengubatinya?

    Alhamdulillah, walaupun bilangan mereka amat minoriti, aku amat berbesar hati mempunyai saudara seperti mereka. Ini kerana mereka berjaya bertolenrasi dengan emosi. Mereka pendamkan hati panas mereka untuk mencari solusi akan parti perjuangan Islam ini. Mereka menggunakan akal sebaiknya dan tidak melemparkan kata cerca pada yang bertegur sapa. Mereka jugalah yang akan bersama merentangi aruhan politik sempit yang amat tinggi jumlah tompok-tompoknya di Malaysia.


    Akhir kata, selamat maju jaya rakan dakwahku, semoga beroleh keberkatan dan dipermudahkan urusan kamu berdakwah kepada saudara kita yang lain. Diri ini insan biasa, bukan bermakna maksum 100% dari terbitan kata cerca yang sengaja mahupun tidak sengaja. Namun ini bukanlah budaya kita bercaci maki sesama saudara, hatta ini bukanlah ajaran Allah dan Rasulnya. Islam itu syumul, jangan jumudkannya ia dengan tingkah laku kita sebagai penganutnya. Wallahualam.

    Jazakallah.
    Read more

    Cara-cara menolak nenek tua keluar dari bas (video)


    Sejenak aku ketip laman Youtube sebentar tadi, terus terjojol keluar video ini menderu-deru trending di alam internet.

    Ya, aku akui agak terlambat untuk turut sama berkompang tentang video ini, tapi dengan kandungan internet yang menjangkau beberapa petabytes ini, takkan pernah termampu kamu menunding jari dan seraya berlagu slowpoke pada aku.

    Nothing to blame on the Singaporean nor their public transport service. Or even the old lady. But indeed, this is an example on How to Politely Argue with Nanny. 

    Berdasarkan komen di Youtube, si polan itu telah pun mengeluarkan satu statement untuk menjustifikasikan tindakan beliau yang amat santun lagi hiba ini. Beliau juga menyandarkan premis permasalahan tekanan perasaan dek kenangan pahitnya dibuli ketika di sekolah dan National Service untuk mengizinkan dirinya berlaku zalim terhadap nenek terbabit.

    Jauh di ceruk hati aku berseloka riang jika melihat kejadian ini berlaku negara ini, mungkinkah permuda itu akan termakan  derapan buku lima yang mendengus laju ke rahang dan sisi-sisi buah pinggangnya?


    Diharap foto hiasan berikut sedikit sebanyak dapat membantu melembutkan resak berang hati taulan yang membaca siaran madah berbaur Temasek ini.






    Read more

    Das Ich, About Me

    Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh




    Aku bernama Taufik, seorang warganegara Malaysia yang dilahirkan sekitar tahun 80-an. Sehingga kini, lebih dari 80% masa celikku dihabiskan di Utara Semenanjung Tanah Melayu. Latarbelakang aku berbirat oleh kenangan perjuangan ranjau menuntut ilmu di sebuah IPTA serta pengalaman meredah rimbunan tipu daya dunia perniagaan di usia setahun jagung. Kini aku bergelumang mesra dengan kelibat industri yang tagihkan khidmatku sambil bersaing di celahan cakaran bayangan politik yang bermuka-muka.


    Read more

    Kisah Inspirasi Akar Umbi

    Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh & Salam Selami Diri

    Seperti yang telah dijanjikan, nukilan khas untuk pihak/individu yang memberikan aku arus rentak memulakan langkah menulis blog.

    Usulnya sebelum tekad membina blog ini, terdapat seorang rakan yang menyarankan aku menulis blog. Lebih musykil, sahabat ini disahkan tiada pernah terutas jarinya mengetik walaupun satu post di blog milikan sendiri. Ini selepas dia berjaya menyelitkan rasukan matanya di dalam rungkaian buku nota Hitam bergenre miscellaneous yang dimiliki aku. (citation needed)

    Perihal buku nota ini bukanlah suatu yang berseni bahkan tiada langsung sari arti susunan tertib. Yang dahulu dikemudian, yang kemudian didahulukan. Hari berganti hari, tahun beransur pergi, buku-buku Hitam ini makin bertambah bilangannya seiringan peredaran corak pemikiran aku.

    Lalu sahabat ini menduga unjuran mahar otak aku ini dengan prosa yang berbunyi
    "Hang ingat ka semua yang hang tulis? Mana pi abeh hat lain? Hat dulu-dulu tu.. Ada setengah tu hang KIV tak sambung pon"
    "Awat hang tak buat blog?"

    Silau tempurung otakku pabila terpana dengan blazing enquiry itu. Sejak dari itu tidak pernah terhenti aku mencongak apakah aku perlukan alasan untuk menulis (dengan penuh sistematis) di dada-dada papan antara-muka laman sesawang? Sejak dari itu aku nekad akan cuba menulis di laman blog sendiri. Alhamdulillah hari ini aku langkah itu telahpun aku mulai.

    Lancang mulut dengan sebaris irama, lantas bersendi melurut senyuman.

    Pengakuan jujurku akan dunia internet ini tidak pernah aku suka kepada blogging. I am neutral, not that havoc still not a hater. Tambahan pula komitmen membaca blog aku amat nipis apatah lagi menulis. Cucuran blog yang terlintas di mata aku meliputi blog politik, permotoran, sejarah yang tidak mainstream, berita sensasi, bolasepak, movie dan lain lagi.

    Antara pengikat utamaku adalah paul tan, kereta mayat, solihin zubir, uzar, jayce oi serta ramai lagi yang tak dapat aku ingat. Namun aku jangkakan penulisan aku adalah amat subjektif dari segala kandungnya langit bacaanku. I cannot predict myself.

    Aku terpaksa menyusun rantaian jari berbilang sepuluh untuk memohon maaf di atas kesingkatan cetusan intelektual aku untuk meneruskan penulisan yang aku rasakan bakal melencong jauh dari janji asalnya ini.

    Read more

    Comments