Showing posts with label Anti-Hadith. Show all posts
Showing posts with label Anti-Hadith. Show all posts

4 Cara Mudah Menangkis Kassim Ahmad


Ini bukan kali  pertama nama Kassim Ahmad menerjah. Sekadar dengar, aku pikir beliau menyepi terus. Tetapi kali ini dia datang dengan sosok Dr. M di belakangnya. Membawa siulan-siulan yang teramat aneh kedengaran.

Ternyata buku tulisan beliau bukanlah antara judul yang bertaman di hati aku. Seingat aku entah berapa muka surat sahaja yang aku telah aku hadam. Entah lain benar kompas penulisannya, menimbulkan rasa tidak setuju dari benak aku.

Aku setuju untuk tidak bersetuju. Tetapi berat hati ini menyetujui agar beliau terus diberi hak menyampaikan dan apatah lagi menyebarkan ruas-ruas pemikirannya.

Kali ini juga goncangan Kassim Ahmad tampak lebih jelas. Beliau menyakat golongan ilmuan dan agamawan agar turun ke gelanggangnya. Katanya tidak kurang dari "Mari turun kalau berani!".

Maka aku usulkan panduan 4 Cara Mudah Menangkis Kassim Ahmad yang seorang ini.

 4 Cara Mudah Menangkis Kassim Ahmad 


Adapun kelima-lima cara menangkis Kassim Ahmad ini hanya menggunakan tangan. Tangan sebagai medium untuk mempamerkan ke-intelektual-an diri.

1. Pusaran Kritikal
Digunakan sebagai pengisian semasa mencari perkataan-perkataan yang sesuai
(saintifik)untuk menerangkan sesuatu idea.




2. Pukulan Kilas
Digunakan sebagai tanda mengukuhkan idea apabila lawan nampaknya tidak responsif.





3. Dialektik
Digunakan apabila menyatakan peralihan pandangan (shift).






4. Lenturan Otot Akademik
Digunakan apabila mengambil idea di luar konteks asal dan meletakkannya di tempat lain.





Sila amalkan kesemua cara yang diberikan untuk mendapat kesan yang amat menyakinkan. Pastikan juga anda berlatih menyendiri dahulu sebelum menggunakannya di khalayak ramai.

Paku Buah Keras


Ironi bukan? Nampak macam boleh selesaikan masalah. Tapi tak selesai, bahkan membantu memperlihatkan lagi kejelekan diri pula. Niat bagus tidak semestinya selari dengan cara.

Begitulah 4 respons dari pelbagai lapisan masyarakat terhadap isu Kassim Ahmad ini. Kecam, Hina, Tangkap & Kurung adalah paku buah keras yang menjadi ramuan masyarakat dalam menghadapi perselisihan faham.

Kassim Ahmad sememangnya patut dan layak dikritik. Tapi untuk menghadiahkan 4 paku buah keras di atas itu adalah suatu yang amat malang yang bertingkat-tingkat.

Malangnya adalah kepada mereka-mereka yang menggunakan 4 paku buah keras sebagai tonggak dalam menghadapi Kassim Ahmad. Maka dari sinilah yang sebenarnya akan mencorakkan perpecahan di kalangan masyarakat.

Secara tidak langsung mendidik masyarakat untuk menjadi lebih tegang apabila berhadap dengan isu-isu yang aneh sebegini.

Aku meletakkan seratus peratus persetujuan kepada kenyataan Ustaz Emran Ahmad "Lebih afdhal bagi para agamawan saat ini ialah untuk menghampirinya lalu menasihatinya secara sulit, jauh dari kamera, jauh dari popular dan jauh dari kaca mata manusia".

"Kalau mahu berdebat dengan alasan penting untuk mendedahkan kepada umum tentang kesesatan fahaman anti-hadith ini maka lebih baik dibuat dialog dan forum atau diskusi soal-jawab terbuka yang dikendalikan oleh agamawan yang mahir. Mungkin Datuk Dr Asri adalah orang yang sesuai dan lain-lain tokoh".

"Hujah yang bertubi-tubi dengan dalil, tidak berkesan buat golongan ini yang cara berfikirnya berbeza".

"Golongan seperti Kassim Ahmad terhasil dalam masyarakat akibat kelemahan institusi agama dan dakwah serta cara fikir agamawan yang suatu ketika dahulu amat kolot, jumud dan tertutup. Membaca buku-buku beliau akan menyebabkan kita memahami bahawa beliau bukan watak jahat atau pembelit yang sengaja mencari pasal tetapi seorang yang tersesat dalam mencari jalan kebenaran".

Aku bersetuju untuk tidak setuju. Sekadar pendapat yang boleh persetujui dan tidak dipersetujui. Mari berhikmah dengan khilaf, ini bukan sekadar gelanggang ilmu, tetapi juga gelanggang akhlak.

******

Emran Ahmad. Dua Nama Sesuai Debat Dengan Kassim Ahmad. Sinar Harian. Diambil pada Februari 20, 2014, dari http://www.sinarharian.com.my/karya/pendapat/dua-nama-sesuai-debat-dengan-kassim-ahmad-1.252436

Jasmine Johnson & Alice May Williams. A Glossary of Gestures for Critical Discussion. Diambil pada Februari 20, 2014, dari http://criticalhandgestures.tumblr.com/

tags: kassim ahmad mahathir mohamad anti hadis darul hadis sinar harian pro hadis ahli sunnah wal jamaah dr asri debat fahaman agamawan ilmuan intelektual diskusi yayasan perdana
Read more

Hadith adalah kisah dongeng semata-mata?


Adapun satu golongan yang menolak hadith sebagai salah satu saluran rujukan sekelian Muslim, mereka ini merasakan bahawa perawi Hadith hanya mereka-reka kisah hadith tersebut untuk kepentingan sendiri.

Lebih menarik, mereka mengaitkan fahaman agama Zoroastrianism yang amat meluas di wilayah Parsi ini mempunyai pengaruhnya dalam ulama-ulama hadith.



Pengaruh Zoroastrianism dan Parsi


Zoroastrianism dan Islam sememangya mempunyai sedikit persamaan di antara dua. Zoroastrianism adalah satu agama filosofi yang dibawa oleh Zoroaster yang dikenali sebagai salah satu agama purba terbesar di dunia.

Agama yang berpusat di Iran ini dipercayai membawa unsur-unsur negatif yang diwarisi oleh ulama dari Parsi yang mempengaruhi penerbitan hadith yang dijadikan rujukan kita hari ini.


Mereka mendakwa, kebergantungan Muslim terhadap Hadith yang sudah melebihi Al Quran itu sendiri sedang membawa Islam kepada kehancuran. Mereka juga menuduh Ulama Hadith sebagai pensabotaj agama.

Kesan Penggunaan Hadith

Bagi mereka, Hadith adalah salah satu punca perpecahan yang berlaku dikalangan Muslim itu sendiri. Hadith telah dimanipulasi sehinggakan golongan Non-Muslim merasakan jelik dan bencikan Islam dan Muslim.

Golongan ini sering dilabel sebagai anti-Hadith. Mereka cenderung menggunakan dalil Quran yang menggambarkan kesempurnaan Kalam Allah ini tidak perlukan bahkan melarang bergantung kepada Hadith.

"...Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu bertanyakan perkara-perkara yang jika diterangkan kepada kamu akan menyusahkan kamu, dan jika kamu bertanya mengenainya ketika diturunkan Al-Quran, tentulah akan diterangkan kepada kamu. Allah maafkan (kamu) dari (kesalahan bertanyakan) perkara-perkara itu (yang tidak dinyatakan di dalam Al-Quran); kerana Allah Maha pengampun, lagi Maha penyabar..." (Al-Maidah:101)

"...Dia lah yang menurunkan kepadamu Kitab Suci Al-Quran. Sebahagian besar dari Al-Quran itu ialah ayat-ayat “Muhkamaat” (yang tetap, tegas dan nyata maknanya serta jelas maksudnya); ayat-ayat Muhkamaat itu ialah ibu isi Al-Quran. Dan yang lain lagi ialah ayat-ayat “Mutasyaabihaat” (yang samar-samar, tidak terang maksudnya). Oleh sebab itu adapun orang-orang yang ada dalam hatinya kecenderungan ke arah kesesatan, maka mereka selalu menurut apa yang samar-samar dari Al-Quran untuk mencari fitnah dan mencari-cari Takwilnya (memutarkan maksudnya menurut yang disukainya). Padahal tidak ada yang mengetahui Takwilnya melainkan Allah. Dan orang-orang yang tetap teguh serta mendalam pengetahuannya dalam ilmu-ilmu ugama, berkata:” Kami beriman kepadanya, semuanya itu datangnya dari sisi Tuhan kami” Dan tiadalah yang mengambil pelajaran dan peringatan melainkan orang-orang yang berfikiran..." (Ali-’Imran:7)

Ayat-ayat di atas menerangkan kenapa mereka rasakan betapa Muslim perlu menerima Quran sebagai rujukan tunggal ke-Islam-an mereka.

Dalil menolak Hadith

Mereka juga menyatakan bahawa tiada istilah "Hadith" di dalam Al Quran yang merujuk kepada kisah dan pengkisahan Nabi Muhammad SAW. Begitu juga dengan ketiadaan dalil Al Quran yang jelas mengatakan harus menggunakan Hadith sebagai rujukan.

Dakwa mereka, Ulama Hadith Parsi adalah tidak segan silu dengan kelucahan. Malah mereka mengketengahkan beberapa Hadith yang kelihatan menggambarkan sedikit kelucahan yang dikatakan bahawa direka cipta oleh Ulama Hadith itu sendiri.

Mereka juga mempertikaikan perawi Hadith seperti Al-Bukhari yang dikatakan bermasalah dan dipengaruhi kerajaan boneka Abasid yang bertali barut dengan kepercayaan Zoroastrianism di Parsi.

Turut dipersoalkan kewibawaan Al-Bukhari yang dikatakan meluangkan 16 tahun menjelajah mencari Hadith dan menghafal serta mengkaji semuanya yang hampir berjumlah 1 juta Hadith. Dikatakan kisah-kisah ini dipengaruhi syair-syair dongeng yang sememangnya terkenal di Parsi.

Sains sanad hadith turut menjadi pertikaian apabila penerbitan dan perakuan ketulenan hadith itu dibuat 250 tahun selepas kewafatan Rasulullah. Mereka beranggapan bahawa mustahil Ulama Hadith dapat mengesahkan ketulenan senarai sanad yang telah lama meninggal dunia.

Selangkah Ke Alam Misteri

Terdapat satu misteri yang aku lihat dari golongan ini. Mereka seperti menggunakan Al Quran itu sebagai kamus bahasa Arab harian mereka. Copy dan paste sana sini. Bila ditanya makna dijawab juga dengan copy paste.

Lebih hairan, mereka mempertikaikan penulisan hadith dan Ulama hadith serta mengatakan bahawa kandungan kisahnya telahpun dimanipulasi. Sebaliknya, boleh pula mereka berpegang teguh pada Ulama tafsir yang telah mereka copy paste tanpa apa-apa syak wasangka.

Tidak dapat dipastikan sama ada golongan ini menolak 100% hadith atau menerima sebahagian sahaja. Serta bagaimana golongan ini bersolat dan mengerjakan ibadat khusus lain yang dilakukan Nabi Muhammad tanpa merujuk kepada sunnah dan hadith. Menjadi tanda tanya bagaimana mereka memperhalusi hukum hakam dunia alaf 21 hari ini dengan tanpa merujuk sunnah dan hadith.

Antara dalil terkuat mereka adalah sebaris ayat dari Surah Luqman:

"..Dan ada di antara manusia orang yang mempergunakan HADIS (cerita dongeng) yang tidak masuk akal untuk menyesatkan (manusia) dari jalan Allah tanpa sebarang pengetahuan dan menjadikannya agama Allah itu sebagai ejek-ejekan; Merekalah orang-orang yang akan memperolehi azab yang menghinakan.." (Luqman:6)

Sememangnya mana-mana ayat Quran tidak dapat dipertikai oleh mana-mana Muslim sekalipun, kerena ianya adalah Kalam Allah.

Mereka juga menekankan rukun Iman (beriman dengan Al Quran) sebagai salah satu pegangan mutlak dan tidak harus di rentas walaupun oleh jutaan hadith. Justeru dikatakan merujuk kepada hadith adalah satu perbuatan yang syirik dan terpesong jauh dari agama.

Beriman kepada Rasulullah sama sekali tidak dapat dikaitkan dengan hadith kerana mereka sememangnya mempertikaikan kewibaan Ulama Hadith yang dikatakan mengadun kisah dongeng untuk kepentingan peribadi/kerajaan ketika itu.

Justeru, mereka merumuskan bahawa hadith adalah salah satu faktor utama perpecahan umat Islam serta penindasan yang sedang berlaku hari ini. Mereka juga mengatakan hadith ini melemahkan umat Islam itu daripada bangkit, ini berdasarkan pelbagai hujjah berkaitan Imam Mahdi yang dikatakan dongeng.

Antara hadith yang menjadi pertikaian hangat

Hubungan seks semasa haid
Riwayat oleh 'Abdur-Rahman bin Al-Aswad (pada pihak berkuasa bapanya) 'Aishah berkata: "Apabila Rasulullah saw mahu mengusap-ngusap sesiapa di antara kami semasa waktu (datang haid), beliau kebiasaannya memerintahkan dia memakai Izar dan mula bercumbuan." Saidatina Aisyah ra berkata, "Tiada seorang pun daripada kamu boleh menguasai keinginan seks sebagaimana yang Nabi mampu lakukan."; Sahih Bukhari Volume 001, Buku 006, No 299

Nabi Isa as akan kembali
Dan juga dakwaan mereka dengan mengatakan: “Sesungguhnya kami telah membunuh Al-Masih Isa Ibni Maryam, Rasul Allah”. Padahal mereka tidak membunuhnya dan tidak memalangnya (di kayu palang – salib), tetapi diserupakan bagi mereka (orang yang mereka bunuh itu seperti Nabi Isa). Dan Sesungguhnya orang-orang yang telah berselisih faham, mengenai Nabi Isa, sebenarnya mereka berada dalam keadaan syak tentang menentukan (pembunuhannya). Tiada sesuatu pengetahuan pun bagi mereka mengenainya selain daripada mengikut sangkaan semata-mata; dan mereka tidak membunuhnya dengan yakin. Bahkan Allah telah mengangkat (رَّفَعَهُ) Nabi Isa kepadaNya (disisiNya?); dan adalah Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana. (Surah an-Nisaa: 157-158)

Menggiliri 9 isteri satu malam
Telah menceritakan kepada kami Musaddad Telah menceritakan kepada kami Yazid bin Zurai' Telah menceritakan kepada kami Sa'id dari Qatadah dari Anas radliallahu 'anhu, bahwasanya Nabi shallallahu 'alaihi wasallam pernah menggilir para isterinya dalam satu malam, sementara saat itu beliau memiliki sembilan orang isteri. Khalifah berkata kepadaku; Telah menceritakan kepada kami Yazid bin Zurai' Telah menceritakan kepada kami Sa'id dari Qatadah bahwa Anas telah menceritakan kepada mereka, dari Nabi shallallahu 'alaihi wasallam; Sahih Bukhari: 4680.

Solat 5 waktu (Ayat Quran)
“Wahai orang-orang yang beriman! Hendaklah hamba yang kamu miliki, dan orang-orang yang belum baligh di antara kamu, meminta izin kepada kamu pada tiga masa; sebelum Salat Fajar, ketika kamu menanggalkan pakaian kamu di tengah hari, dan sesudah Salat Isha; itulah tiga masa bagi kamu. Tiada dosa bagimu dan tiada pula bagi mereka selain dari (tiga masa) itu; mereka keluar masuk melayani kamu, dan sebahagian kamu atas sebahagian yang lain. Demikianlah Allah menerangkan ayat-ayatNya kepadamu; dan Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.” (24.58)

Kesimpulan awal

Hari ini Muslim mengambil jalan mudah mengkafirkan golongan yang dikatakan anti-hadith ini. Secara jujur, aku sendiri tidak selesa dengan cara ini. Siapalah kita nak menghukum?

Maka menjadi tanggungjawab Muslim lain yang sihat mentalnya untuk menyedarkan dan mendakwah mereka ini kembali ke jalan yang benar. Namun, aku tahu aku jahil untuk mula merentang arus mereka. Maka aku perlulah buat kajian terlebih dahulu untuk memperkasakan hati dan jiwa sendiri.

Tidak dinafikan, hujjah dan persoalan yang ditimbulkan golongan ini bersilau-silau baranya. Tapi kalau dipendam dan mengharapkan sendiri jawapan yang datang bergolek, risau makin lemah pula iman senipis kulit bawang ini.

Maka perlulah kita mengkaji dahulu sebelum bertindak. Selemah-lemah usaha, berdoalah kepada orang lain dan mereka yang terjebak.

Read more

Comments