Showing posts with label Amal Amin. Show all posts
Showing posts with label Amal Amin. Show all posts

Haram Senyum Ketika Berdakwah


Ini cerita tentang kampus. Spesifikkan lagi skopnya; dakwah di kampus. Ceritera tentang adik-adik junior yang ‘fresh-fresh’ belaka. Selalunya kalau ‘fresh’, otak pun sudah tentu suci. Suci dalam erti kata, belum dipengaruhi mana-mana anasir; positif mahupun negatif. Selalunya lagi, kalau cerita tentang adik junior, tak lengkap jika tidak disempurnakan dengan kehadiran kakak dan abang senior.

Kita selalu dengar ramai jemaah sibuk dengan aktiviti dakwah. Di masjid taman-taman perumahan mahupun kampung, setiap minggu pasti ada ceramah agama. Paling-paling tidak pun khutbah Jumaat. Di kampus universiti, kakak abang senior – yang disifatkan adik-adik junior suci sebagai orang alim bertudung labuh serta berkopiah – giat menjalankan aktiviti dakwah menerusi perjumpaan berkala yang dipanggil usrah. Tarik adik-adik junior menyertai kumpulan-kumpulan usrah. Suka atau tidak. Paksa atau rela. Mandatori. Wajib ikut!

Kadang-kadang adik junior itu tidak pernah langsung kenal apa itu usrah. Lebih-lebih lagi yang datang dari sekolah menengah biasa. Ikut usrah pun sekadar ikut, kakak alim bertudung labuh yang tarik. Lebih malang lagi jika hadir usrah sekali dua, kali ketiga terasa hambarnya. Kali keempat mula cipta alasan. Kali kelima, keenam selamat jalan.
Sampaikan kadang kala golongan kakak tudung labuh dan abang berkopiah, dipandang alergik oleh golongan adik-adik junior. Selangkah adik-adik junior cuba didekati, beribu langkah jaraknya mereka menjauhkan diri.

Kenapa begitu?

Koreksi Diri

Jangan!

Jangan sesekali salahkan adik-adik junior yang tidak bersalah itu. Mereka terlalu suci dan polos untuk dipersalahkan kerana tidak mengikut budaya usrah yang secara tiba-tiba hadir tak diundang dalam hidup mereka.

Jadi? Takkan nak biarkan mereka berlalu begitu saja sedangkan kakak abang senior itu terus dengan zon selesa berusrah dengan adik-adik junior yang patuh lagi menurut kata? Takkan nak ajak orang sama-sama dapat pahala pun kena pilih kasih?

Ya! Sebelum menuding jari salahkan orang lain, intai silap sendiri, cuba koreksi diri. Satu jari telunjuk diunjuk kepada dia, dia dan dia, empat jari lagi mengarah kepada kamu! Ya, kamu sendiri!

Jangan bimbang wahai kakak abang senior, belum terlambat lagi untuk berubah. Fitrah insan pasti tak lari dari khilaf. Perlu diingat, kakak tudung labuh dan abang berkopiah serta ustaz ustazah bukan malaikat yang suci dari dosa. Masing-masing perlu muhasabah.
Kadang-kadang, mungkin mental kakak abang senior yang sudah sedia berat dengan assignment  dan komitmen persatuan ‘ditambahberatkan’ lagi dengan ungkapan seperti, “Dakwah itu bukan mudah, Jalan dakwah itu penuh ranjau, onak dan liku…”. Ya, memang tidak dinafikan gerak kerja dakwah bukan mudah untuk dilaksanakan. Tapi jangan sampai kita yang tambah menyulitkannya. Hanya kerana kita lupa satu perkara mudah.

Apakah?



Senyum!

Sabda Rasulullah s.a.w. : “Janganlah kamu meremehkan kebaikan apa pun, walaupun sekadar bertemu saudaramu dengan wajah yang manis.” – [Hadis Riwayat Muslim].
Oh, ya. Mungkin kakak abang pemimpin usrah hanya tahu baca hadis, tapi LUPA nak hayati. LUPA – caps lock – menunjukkan mereka tak sengaja, jadi adik-adik tolonglah maafkan mereka ya.

Macam manalah adik-adik junior (yang keras hati) nak lekat dengan kakak abang senior yang setiap kali perjumpaan usrah [baca : menyampaikan syllabus usrah], buat muka serius ketat macam hakim jatuhkan hukuman gantung sampai mati mandatori? Macam manalah adik-adik junior nak sayang kakak abang senior kalau jumpa di tengah jalan, kakak abang senior buat tak pandang, SENYUM pun tidak apa lagi ucap salam?

Eh, ini bukan isu – “Kau junior aku senior, so kau kena hormat lebih kat aku.”

Mulakan dengan diri sendiri. Jangan harap orang lain mulakan, kalau kita sendiri masih sombong untuk senyum.

Senyum itu menyenangkan. Senyum itu menenangkan. Umum tahu - senyum itu sedekah, kerana Allah tahu, tak semua hambanya bernasib baik mampu keluarkan harta waima satu sen untuk bersedekah. Kerana itu Allah mengganjari pahala sedekah buat seringan-ringan perbuatan – senyum. Siapa tahu, hanya dengan senyuman yang lahir dari hati yang luhur mampu menjadi awal dakwah untuk memikat hati adik-adik atau sesiapa sahaja untuk menerima dakwah anda.

Menjinakkan hati sebelum memperkenalkan

Antara kaedah sebagaimana yang dijelaskan di dalam 10 kaedah dakwah Syeikh Jum’ah Amin; at-ta’lif [‘ = hamzah] qobla ta’rif [‘ = ain].

Menjinakkan hati sebelum memperkenalkan mereka kepada dakwah. Tackle perhatian mereka sebelum mengajak mereka ke peringkat seterusnya.

Harus diketahui, diciptakan manusia ini dengan lebih dari 1001 jenis perangai. Variasi inilah yang menjadikan dakwah tidak hanya statik kepada satu cara, malah dakwah memerlukan kekreatifan sesuai dengan tempat, masa dan suasana masyarakat. Dakwah yang terbaik adalah dakwah yang tidak membebankan masyarakat, malah lebih memudahkan dan menyenangkan masyarakat untuk menerima tanpa melangkaui batas agama.

Oh ya. Tidak perlu menjadi seorang ustaz ustazah untuk berdakwah. Sesiapa sahaja – selagi anda seorang Muslim dan sedar akan tanggungjawab itu – maka jalankanlah sedaya mana yang termampu mengikut kekreatifan sendiri selagi ia tidak bertentangan dengan syariat.

Dakwah bukan untuk menyusahkan. Dakwah juga bukan untuk menghukum.
Jika tidak, mungkin sudah lama Nabi junjungan kita mendoakan kecelakaan kepada penduduk Thaif yang menzalimi baginda ketikamana baginda menyeru mereka kepada Islam. Jika tidak, mungkin sudah lama Baginda s.a.w. membunuh Umar r.a. yang kuat menentang perjuangan baginda sebelum keIslamannya.

Api takkan terpadam dengan menjirus petrol RON-95. Air yang menitik di atas batu yang keras, lama-lama akan melekuk juga. Ada 1001 macam cara untuk berdakwah. Bukan dengan kekerasan. Bukan dengan muka yang serius.

Di akhirnya, praktik dan laksanakan. Bicara tanpa amal laksana pohon yang rendang tanpa rambutan yang merah.

Oh ya, kakak abang usrah, sahabat-sahabat yang giat berdakwah. Teruskan dakwah anda. Moga Allah rahmati dan kuatkan langkah murni anda.

Tapi, jangan kedekut sedekah senyum!




Read more

Comments