Showing posts with label Adab. Show all posts
Showing posts with label Adab. Show all posts

Fenomena Ustaz/Ustazah Google



“Kenapa perlu aku berguru dengan alim ulama kalau ada Pakcik Google di sisi?”

Suatu masa dulu, mempelajari ilmu agama hampir dianggap sebagai satu “struggle”. Ianya menuntut perjuangan dan pengorbanan seseorang itu untuk mencari guru dan berusaha mempelajari ilmu darinya. Tapi kini tidak lagi dengan adanya Pakcik Google di sisi.

Adakah salah menjadi seorang Ustaz/Ustazah Google?

Apakah itu Ustaz/Ustazah Google? Ustaz = Professor. Tapi secara lokal, Malaysia khususnya, Ustaz merujuk kepada “seorang yang ahli dalam bidang agama”. Google pula sejenis search engine yang digunakan oleh jiwa-jiwa manusia untuk mencari sesuatu perkara di internet.

Segelintir dari kita kini tidak lagi meraikan pandangan ulama dengan cara merujuk kepada mereka secara bersua muka. Lebih mudah mereka cari hukumnya di Google tanpa mereka perlu tahu sebab dan musababnya. Lebih mudah dan lebih cepat, tanpa pedulikan kesahihannya.

Implikasi dan Kesan

Aku kadang loya dengan kesekian kali terbitan hukum sana sini yang diadu domba sesetengah golongan. Mari kita bincang implikasi. Implikasi di sebalik fenomena Ustaz/Ustazah Google, atau orang arab panggil Sheikh Googla.

Wujudnya penyebaran pelbagai macam cerita dan hukum, Dari tok guru masjid hinggakan ke Syeikh Nuruddin. Dari tok mudim kampung hinggakan Ustaz Haron Din, selamba sahaja nama-nama alim ulama ini dipetik habuan penyedap cerita.

Golongan ini sering membawa arus kecelaruan terhadap minda-minda yang kurang tegukkan ilmu agamanya. Kerana mereka mengambil jalan mudah untuk bersandar kepada usaha orang lain untuk mencari hukum tanpa mereka berusaha sendiri mencarinya.

Fenomena ini sekiranya ianya dapat diperhalusi oleh golongan Bukan Islam, maka akan tumbuh dalam hati mereka mengatakan bahawa betapa jahilnya umat Islam ini, sesama sendiri keliru tentang agama sendiri.

Implikasi terburuk fenomena ini adalah jika berlakunya keterpesongan aqidah. Di mana sebaran-sebaran cerita palsu dan hukum hakam yang tahyul di ambil bulat-bulat tanpa merujuk kepada mana-mana ulama. Dan lebih teruk lagi apabila wujudnya aktiviti mentakfir (mengkafirkan) orang lain.

Lidah, adalah antara organ paling bahaya. Amat mudah untuk terperosok ke dalam neraka jika kita tidak berhati-hati menggunakannya.

Sebagaimana mudahnya lidah dihinggapi penyakit caci maki, mengejek, mengumpat, memfitnah, sumpah palsu, dusta, pecah rahsia/amanah dan sebagainya.Begitu jugalah peranannya keyboard komputer dan telefon bimbit mengadun resipi untuk ke neraka.

Lidah, pena dan jari yang tidak beradab akan cenderung membuahkan kebencian bila berlaku perselisihan pendapat. Kerana mungkin mereka tak praktikkan keberadaban seseorang ilmuan. Hasilnya wujudlah komuniti Muslim yang bertaring, fanatik dan rigid.

Sila klik untuk paparan lebih jelas


Apa yang Pakcik Google cicirkan?

Selain ilmu yang diajar, pergaulan dengan orang berilmu menambah berkat dengan ilmu yang ingin dipelajari. Pelajar boleh mengamati akhlak dan adap guru untuk dijadikan teladan dan mungkin sempadan.

Lihat bagaimana guru itu perjelaskan sesuatu permasalahan, bagaimana dia melayan karenah anak didiknya, bagaimana dia bergaul dengan masyarakat, bagaimana dia berdakwah dan berhikmah kepada yang bukan muslim, bagaimana dia disanjungi dan dimuliakan oleh pelajar dan guru agama yang lain.

Pakcik Google juga tak dapat menyemai nilai keakraban sesama guru dan murid serta kemurnian yang terbit dari celahan senyuman guru menegur pelajarnya. Bukan sahaja dari segi keilmuan, bahkan dari segi sikap dan akhlak anak muridnya sesama mereka dan sebagai seorang muslim secara keseluruhannya.

Namun begitu, masih ramai anak murid ulama yang hanya mampu mewarisi ilmu yang dipelajari namun tidak mampu mewarisi akhlak dan adap guru mereka. Kalau belajar dengan guru pun tak mampu nak beradap, apatah lagi kalau belajar dengan Pakcik Google.

Jelas sekali ini bukanlah salah Pakcik Google. Beliau bukanlah seekor kambing hitam untuk menerajang tingkah laku si penyubur benci ahli agama kita sering lihat memporak-perandakan perbincangan agama di dada-dada Chrome, Mozilla, Opera dan yang sewaktu dengannya.

Maaf cakap, golongan inilah yang kelihatan lebih suka menabur hukum tanpa memikirkan implikasi dan hikmah disebalik apa yang berlaku. Mereka lebih selesa mencari salah dari membantu memberi jawapan dan mencadangkan solusi.


Adakah ini rupanya Ustaz Google?



Tangani masalah ini

Think Twice. Mohon diamalkan amalan “berfikir dua kali” sebelum sebarkan apa-apa jenis sebaran. Peransang utama untuk berfikir kali kedua adalah dengan melalukan penyelidikan dan pengesahan terlebih dahulu sebelum anda meneruskan langkah menyebarkan dakyah/dakwah tersebut.

Sekiranya anda punyai rakan kawan dari kalangan agamawan, ustaz dan orang lama, mohon utamakan persoalan-persoalan yang bersangkut paut dengan bahan sebaran untuk dapatkan pendapat merkea. Gunalah apa cara jua sekalipun menggunakan facebook dan email.

Andai kata segenap pelusuk dunia online dan offline anda tidak mampu memberikan kesahihan yang konkrit. Maka ambillah wudhu dan tunaikanlah solat Istikharah jika anda merasakan ke-tidak-sebaran anda itu membawa mudharat kepada seluruh umat Islam di dunia.

Orang yang tak tahu, berhak bertanya. Yang tahu, bertanggungjawab untuk berikan jawapan. Tapi yang tak tahu, mohon jangan berhujah, kerana kalau dia berhujah risau ramai akan terpalit kesesatan.

Akhirkata, sama ada Pakcik Google, Mak Ndak Twitter mahupun Tok Batin Facebook, siapalah jua namanya, mereka ini terhasil daripada jaringan internet.

Internet umpama pisau, pisau yang berbilang gunanya, kalau bernasib baik dapat makan daging rusa, tapi silap hari bulan terburai perut sendiri pula. Bergantung kepada kita yang baik yang mana buruknya.

Dua tiga kucing berlari,
Mana nak sama si kucing belang,
Dua tiga hukum diberi,
Mana nak sama si Ustaz Google-ku seorang.
Read more

Comments